Isnin, 17 Februari 2014

MUHAMMAD ABDUH








1.PENDAHULUAN

Muhammad bin ‘Abduh adalah seorang tokoh yang tidak asing dalam sejarah perjuangan dan peradaban umat Islam. Selain dari menabur jasa dalam bidang ilmu pengetahuan, beliau juga banyak meninggalkan bakti terhadap kebangkitan ummah dalam arena politik, sosial, ekonomi dan perundangan. Justeru banyak kajian telah dibentang mengenai sumbangan beliau dalam berbagai bidang, sama ada berbentuk artikel, buku hinggalah kepada tesis (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 1).
Pada abad ke 19M, gerakan islah dan pembaharuan telah bermula dengan hebat dan meluas di kalangan masyarakat mesir. Malah bukan sekadar di Mesir, sebaliknya kewujudan gerakan-gerakan pembaharuan dan kemunculan tokoh-tokoh reformis telah memberi kesedaran kepada seluruh dunia Islam pada waktu itu. Gerakan gerakan pembaharuan yang muncul bersama idea-idea pembaharuan dan gagasan pemikiran yang bernas, tidak lain adalah untuk menyedarkan umat Islam supaya kembali kepada zaman kegemilangannya, seterusnya memajukan umat Islam agar mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara maju yang lain (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 99).
Gerakan pembaharuan atau pengistilahan ini dipelopori oleh beberapa tokoh ulama yang terkenal seperti Sayyid Jamal al-Din al-Afghani dan juga Shaykh Muhammad ‘Abduh. Mereka merupakan golongan yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia menerima pemodenan. Hasil daripada kesedaran ini, maka golongan tersebut telah mempelopori gerakan pembaharuan di Mesir. Shaykh Muhammad ‘Abduh merupakan salah seorang tokoh islah yang telah berjaya menyebarkan idea-idea islah beliau terhadap sistem pendidikan di Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 99).




2.BIOGRAFI  MUHAMMAD ABDUH
2.1 Latar Belakang Peribadi
Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin ‘Abduh bin Hasan bin Khayrullah. Nama beliau dikatakan mempunyai maksud dan keistimewaan yang tersendiri. Menurut tulisan Muhammad Rasid Rida yang juga merupakan murid Muhammad ‘Abduh yang paling kanan dalam kitabnya Tarikh al-Ustadh al-Imam al-Shaykh Muhammad ‘Abduh, tidak ramai rakyat Mesir pada waktu itu yang menggunakan nama Muhammad ‘Abduh. Muhammad adalah merujuk kepada Nabi Muhammad (s.a.w) manakala ‘Abduh pula bermaksud hambaNya. Perkataan ‘nya’ yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada Allah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 100).
Bapa Shaykh Muhammad ‘Abduh bernama ‘Abduh bin Hasan Khayrullah dan dikatakan berasal dari keturunan Turki tetapi telah lama menetap di Mesir. Sementara ibunya pula berasal dari bangsa Arab. Menurut catatan sejarah, salasilah keturanan ibunya sampai kepada khalifah yang kedua iaitu Khalifah ‘Umar bin al-Khattab. Oleh yang demikian, keluarga Shaykh Muahammad ‘Abduh adalah daripada keturunan campuran bangsa Arab dan Turki (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 100) dan (Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad nor 2009: 148-149).
Shaykh Muhammad ‘Abduh dilahirkan pada 1265H/1849M di Mahallah Nasr iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak di daerah Buhayrah di Mesir (al-‘Aqqad 1960: 83). Walau bagaimanapun, timbul beberapa percanggahan pendapat tentang tarikh dan tempat kelahiran Shaykh Muhammad ‘Abduh. Menurut sesetengah pendapat, beliau dilahirkan sebelum tahun 1849M. Perbezaan pendapat yang berlaku ini adalah disebabkan oleh suasana negeri Mesir yang berada dalam keadaan kacau bilau pada akhir zaman pemerintahan Muhammad Ali. Namun begitu, tahun 1849M secara umumnya telah digunakan oleh para sarjana sebagai tarikh kelahiran Shaykh Muhammad ‘Abduh (Harun 1975:57) dan (Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad nor 2009: 141-142).
Latar belakang keluarga Shaykh Muhammad ‘Abduh agak berbeza berbanding tokoh-tokoh pemikir Islam yang lain. Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang bukan mempunyai latar belakang pengajian yang tinggi. Beliau merupakan anak kelahiran daripada sebuah keluarga petani yang tidak mempunyai pendidikan tinggi tetapi mempunyai jiwa keagamaan yang kukuh dan teguh serta menitikberatkan soal pendidikan anak-anak. Shaykh Muhammad ‘Abduh telah membesar dengan asuhan dan didikan kedua orang tuanya sebelum beliau dihantar oleh bapanya untuk mempelajari dan seterusnya menghafaz kitab suci al-Quran(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 100).
Sebelum menetap di Masallah Nasr, bapanya telah dikatakan telah berpindah-randah dari satu desa ke desa yang lain. Perpindahan yang berlaku tersebut adalah disebabkan oleh ketidakstabilan politik dalam pentadbiran Mesir pada waktu itu. Dalam masa setahun, bapanya telah dikatakan berkali-kali berpindah ke beberapa buah desa sebelum membeli sebidang tanah dan seterusnya menetap di Mahallah Nasr. Dalam masa perpindahan dan perantauan inilah bapanya telah berkahwin dengan ibunya yang kemudiannya terus menetap di desa yang akhirnya menjadi kediaman mereka sekeluarga hingga lahirnya Muhammad ‘Abduh(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 101).
Mesir pada ketika itu berada dalam keadaan tidak stabil akibat kekacauan yang ditimbulkan oleh pegawai-pegawai Muhammad Ali. Kekacauan dilakukan oleh penguasa-penguasa yang dilantik ole Muhammad Ali yang menggunakan kekerasan untuk mengutip cukai ke atas tanah-tanah pajak mereka terhadap golongan petani. Oleh kerana hal inilah golongan petani mula berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari kediaman yang baru bagi mengelakkan beban berat yang ditanggungkan ke atas bahu mereka. Bapa Muhammad ‘Abduh juga merupakan salah seorang daripada kalangan penduduk yang terpaksa sentiasa mencari tempat baru untuk meneruskan kehidupan mereka. (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 101)
2.2 Latar Belakang Pendidikan.
‘Abduh meletakkan harapan yang besar terhadap anaknya Muhammad. Kekuatan pegangan agama serta keperitan hidup yang dilalui keluarganya akibat kezaliman para pemerintah menyemarakkan semangat untuk melihat anak ini bangkit sebagai seorang ulama dan pemimpin masyarakat yang berani menegur pegawai-pegawai kerajaan yang zalim dan menindas. Kelapangan yang diperolehi ketika itu membolehkan Muhammad dikecualikan dari melakukan kerja-kerja di ladang seperti abangnya Ali dan Mahrus. Sebaliknya beliau telah diberikan peluang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran membaca dan menulis di rumah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 3).
Kemudian beliau dihantar ke rumah seorang hafiz secara khusus untuk belajar membaca dan menghafaz al-Quran. Dalam tempoh dua tahun, beliau menamatkan bacaan dan hafalan al-Quran. Selain dari menghafal, beliau mempelajari ayat-ayat yang dihafal. Pada tahun 1279H/1862M, ketika berusia empat belas tahun, beliau dibawa oleh ayahnya ke Tanta untuk mendalami ilmu Tajwid al-Quran di Masjid al-Ahmadiyy yang terkenal dengan kepakaran qarinya dalam selok belok ilmu Tajwid dan Qiraat. Di sini beliau diawasi sendiri oleh abang tirinya al-Shaykh Mujahid (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 3) .
Dua tahun kemudian, setelah tamat pengajian al-Quran, beliau mula menghadiri kelas-kelas Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain mengikut kurikulum pembelajaran di Masjid al-Ahmadiyy. Selama setahun setengah beliau berusaha untuk memahami dan menguasai pelajaran yang diikuti. Malangnya kaedah pengajaran yang digunakan menyebabkan beliau langsung tidak dapat memahami apa yang dipelajari. Hal ini menyebabkan beliau berasa kecewa dan putus harapan untuk terus maju dan berjaya dalam pelajaran (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 4).
Akibatnya, beliau melarikan diri dan bersembunyi di rumah saudara maranya selama tiga bulan. Al- Shaykh Mujahid berjaya mengesan dan  membawanya kembali ke masjid al-Ahmadiyy supaya meneruskan pengajian. Muhammad ‘Abduh menyatakan hasratnya untuk kembali ke kampong dan bekerja dalam bidang pertanian kerana yakin dengan ketidakmampuannya dalam bidang pelajaran. Setelah berhujah,  beliau berjaya menyakinkan abangnya dan berangkat pulang ke Mahallat Nasr dengan niat tidak akan kembali belajar lagi selepas itu (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 4).
Atas hasrat ini, beliau mendirikan rumahtangga pada tahun 1282H/1865, pada usia 17 tahun. Walau bagaimanapun, selepas 40 hari berkahwin, bapanya datang memaksa beliau kembali meneruskan pelajaran di Tanta. Beliau cuba sedaya upaya untuk mengelak, namun keinginan bapanya yang terlalu tinggi menyebabkan beliau tiada pilihan. Ketika menuju ke stesen kereta api yang akan membawa ke Tanta, beliau melencung ke Kanisat Orin untuk mengelakkan diri dari pelajaran. Namun, di sini beliau telah ditemukan dengan seorang mahaguru yang berjaya mengubah haluan hidupnya. Beliau adalah datuk saudaranya sendiri, al-Shaykh Darwish bin Khadr seorang alim yang telah menuntut ilmu sehingga ke Libya, mahir dalam hafazan dan penafsiran al-Quran serta hafaz kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik di samping beberapa kitab hadis lain(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 4) dan (Ismail Jamil. 1947: 20-21).
Setelah 15 hari berguru, satu perubahan besar telah berlaku dalam diri Muhammad ‘Abduh. Dari seorang yang amat benci kepada pelajaran kepada seorang yang tidak jemu berusaha untuk mencapai tahap tertinggi dalam setiap bidang yang dipelajari. Hidupnya yang selama ini dirasakan terlalu sempit bertukar menjadi lapang, segala keinginan yang menjadi buruan lenyap satu persatu sehingga tidak ada lagi perkara yang lebih penting darinya selain menjadi seorang insan yang sempurna ilmu dan budi pekertinya. Guru ini jugalah yang bertanggungjawab menyungkil dan mengasah segala bakat dan kebolehan yang ada di dalam dirinya. Perguruannya dengan al-Shaykh Darwish berakhir pada tahun 1288H/1871, apabila mereka berjumpa buat kali terakhir pada musim cuti akhir tahun. Al-Shaykh Darwish meninggal dunia pada tahun berikutnya setelah segala ilmu dan harapan dicurahkan kepada Muhammad ‘Abduh (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 4) dan (Ismail Jamil. 1947: 20-21).
2.3 Latar Belakang Kerjaya.
Setelah berjaya memperolehi al-Shahadah al-‘Alimiyyah, Muhammad ‘Abduh telah dilantik sebagai salah seorang tenaga pengajar di al-Azhar. Beliau mengajar ilmu teologi dan mantik. Selain itu, beliau turut mengadakan kuliah-kuliah di rumah dengan menjadikan akhlak dan politik sebagai matapelajaran yang diajar. Pada tahun 1295H/1878, beliau dilantik sebagai guru sejarah di Madrasah Dar al-‘Ulum (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 8).
Beliau juga dilantik sebagai guru Bahasa Arab d Madrasat al-Asin al-Khudaywiyyah. Kedua-dua jawatan ini disandang serentak dengan jawatannya di al-Azhar. Walau bagaimanapun, pada tahun 1296H iaitu pada bulan November 1879, jawatannya sebagai guru di Dar al-‘Ulum dan Madrasah al-Alsin dilucutkan. Beliau diperintah kembali ke Mahallat Nasr dan dilarang keluar ekoran dari perubahan politik ketika itu yang menyaksikan gurunya, al-Afghaniyy diusir keluar dari Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 8).
Pada tahun 1297H iaitu pada September 1880, Muhammad ‘Abduh dilantik sebagai salah seorang pengarang akhbar rasmi kerajaan al-Waqa’i al-Misriyyah. Perlantikan ini merupakan satu usaha kerajaan untuk mengalih perhatian Muhammad ‘Abduh daripada meyebarkan pemikirannya kepada penyiaran berita rasmi kerajaan. Di akhir tahun tersebut, beliau dilantik sebagai ketua pengarang bagi meningkatkan lagi mutu dan fungsi akhbar tersebut. Beliau seterusnya merangka satu rang undang-undang berkaitan percetakan dan penerbitan yang kemudiannya diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 8).
Pada 28 Rabiul Akhir 1298H/31 Mac 1881, satu perintah rasmi bagi menubuhkan  sebuah majlis tertinggi di Kementerian Pendidikan dikeluarkan hasil pendedahan yang dibuat Muahammad ‘Abduh melalui akhbar ini. Beliau turut dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa khas di bawah majlis ini yang bertanggungjawab untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah. Pada 13 Safar 1300H/24 Disember 1882, Muhammad ‘Abduh dihukum buang negeri dari Mesir kerana terbabit dalam “al-Thawrah al-‘Urabiyyah”. Beliau dan beberapa orang rakan yang dihukum menuju ke Syria dan menetap di Beirut (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 9).
2.4 Gugurnya Seorang Pejuang.
Pada jam lima petang hari selasa 8 Jamadil Awal 1323H/11 Julai 1905, Muhammad ‘Abduh menghembuskan nafas terakhirnya di Iskandariah setelah beberapa bulan diserang penyakit. Kerajaan Mesir telah mengadakan upacara rasmi pengkebumian jenazah almarhum bermula dari Iskandariah tempat jenazahnya diselenggarakan dan berakhir di Kaherah tempat jenazahnya disemadikan. Jenazahnya telah dibawa dari Iskandariah ke Kaherah dengan sebuah kereta api khas kerajaan Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 15).
Upacara itu telah disertai oleh seluruh rakyat termasuk pengunjung yang sedang mengunjungi Kaherah termasuk pihak penjajah, sehinggakan kedua-dua Bandar tersebut menjadi lengang kerana kebanyakan penghuninya tidak mahu ketinggalan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang tokoh yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negaranya. Jenazah Muhammad ‘Abduh disembahyangkan di Masjid al-Azhar dan dikebumikan di Qarafat al-Mujawirin. Semoga Allah merahmati dan menempatkannya bersama para solihin (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 15).



3. PEMIKIRAN MUHAMMAD ABDUH
3.1 Penglibatan Muhammad Abduh dalam Politik
Pemikiran politik ialah pemikiran tentang kuasa pemerintahan , tentang siapa yang memilikinya dan bagaimana memperolehinya, tentang bagaimana mengurus dan melaksanakannya serta batas-batasnya, tentang keadilan dalam hubungan terutama di antara yang memerintah dan yang diperintah serta tentang perlunya negara dan peranannya (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153).
            Sebelum melibatkan diri dalam politik, beliau telah dilantik untuk mengajar di kuliah Darul Ulum pada 1878 setelah beliau menamatkan pengajiannya. Di sana beliau mengajar kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun dan melakukan beberapa analisis mengenai kemajuan daan kemunduran sesuatu bangsa serta mengkaji teori-teori kemasyarakatan yang ada dalam buku tersebut. Kemudian beliau mula campur tangan dalam urusan pentadbiran negara (Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad nor. 2009:143).
Apabila politik dikaitkan dengan Muhammad Abduh iaitu tokoh pemikir dan reformis atau tokoh yang membawa idea-idea islah terkemuka Islami dari Mesir pada akhir abad ke 19M, ini memberi pandangan umum kepada masyarakat bahawa pemikiran beliau sebagai pemikiran atau teori politik Islami. Penyebaran idea islah ini adalah hasil daripada kesedarannya untuk memulihkan dan mengembalikan umat Islam kepada kegemilangan. Melihat kepada cengkaman kuasa Barat, beliau cuba membuat perubahan demi perubahan dalam membentuk pemikiran umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 109).
Pada awal penglibatan gerakan islah, Muhammad Abduh telah memilih bidang politik sebagai lapangan perjuangan di mana beliau telah melibatkan diri dalam satu gerakan iaitu pemberontakkan Urabi bagi menentang Khedive Taufiq  yang dikatakan membuat pakatan serta memberi  kerjasama kepada pihak British. Dalam hal ini, beliau telah menyertai puak nasionalis yang dipimpin oleh Urabi Pasya walaupun beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan secara revolusi sepertimana yang disarankan oleh gurunya Sayyid Jamal al-Din al-Afghani kerana beliau lebih cenderung memilih cara evolusi iaitu secara berperingkat dalam perjuangannya (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 110) dan (Ali Mufrodi. 1997:200).
Pada peringkat ini, beliau merasa terpanggil untuk memberi tumpuan kepada perkembangan politik Mesir apabila melihat kepada keadaan dan permasalahan di Mesir terutamanya dari sudut nasionalisme atau semangat kebangsaan. Kelebihan kuasa yang dimiliki oleh Barat menyebabkan rakyat Mesir tidak dapat mempertahankan wilayah mereka  daripada kuasa penjajah Barat (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 110) dan (Mark Sedgwick. 2010:16).
3.1.1 Faktor Penglibatan Muhammad Abduh dalam Politik
Muhammad Abduh telah berperanan secara langsung dalam arena politik dan ekonomi pada separuh kedua kurun ke 19 dan awal kurun ke 20. Dimana suasana politik dan ekonomi meruncing disekitar Muhammad Abduh telah mendorong beliau untuk melakukan usaha-usaha tajdid. Dua aspek inilah yang telah memberi impak besar dalam menggerakkan Muhammad Abduh dalam refomasinya (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 199).
Pada tahun 1882 pihak British telah menakluk ke atas Mesir. Sarjana Inggeris telah berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan Mesir ditakhluki ialah faktor strategi dan pertahanan. Bagaimanapun faktor ini tidak tepat kerana sebelum tahun 1882, British telah pun pernah menduduki Mesir sebanyak dua kali dan kedua-dua pendudukan ini jelas mencerminkan kepentingan politik dan ekonomi (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 202).
Pada setengah kedua abad ke 19, Mesir telah mengalami keadaan ekonomi yang menyulitkan. Khedevi Abbas 1 merupakan orang yang bertanggungjawab meletakkan ekonomi Mesir dalam kepincangan sehingga akhirnya Khadevi Ismail (1863-1879) terpaksa menjual saham dalam Terusan Suez kepada British. Kemudian sehingga apabila Khadevi tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi , Kerajaan Mesir tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut sehingga diisytiharkan bankrap pada tahun 1875. Berikutan daripada itu, bermulanya campur tangan antarabangsa secara langsung dalam urusan kewangan Mesir terutamanya pihak British (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 203).
Sejak tahun 1879 lagi telah muncul gerakan politik secara sulit di Mesir dan mereka terdiri daripda tiga golongan iaitu tentera, pengarang akhbar-akhbar dan Ulama serta Ahli-ahli majlis dan golongan bangsawan. Kemunculan Ahmad Urabi pada tahun 1881 sebagai individu yang berpengaruh dikalangan tentera dan rakyat tidak menyenangkan British. Kemudian telah berlaku pemberontakkan Urabi menandakan bermulanya kekacauan politik di Mesir bagi menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat Mesir terhadap sikap khedive Taufiq yang bersekongkol dengan pihak British (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 203). Walaupun sebenarnya Muhammad Abduh tidak bersetuju dengan bentuk perjuangan revolusi , namun dalam pemberontakkan Urabi ini beliau telah menyebelahi pihak nasionalis sehingga menyebabkan beliau diusir keluar dari Mesir( Mark Sedgwick. 2010:29) .
Beliau telah menuju ke Beirut, kemudian ke Paris pada tahun 1884M lalu menemui semula gurunya Jamal al-Din al- Afghani.  Disana beliau telah bekerjasama dengan gurunya untuk menerbitkan sebuah majalah yang dikenali sebagai al-Urwah al-Wuthqa yang mengandungi idea-idea dan buah fikiran mereka. Al-Afghani sebagai pengurus jurnal dan Muhammad Abduh sebagai editor. Bagaimanapun , selama lapan bulan sahaja setelah pengeluarannya diharamkan oleh kerajaan Paris. Seterusnya telah membawa Muhammad Abduh ke Beirut sekali lagi . Namun pada kali ini beliau tidak lagi aktif dalam pergerakan politik sebaliknya memulakan kehidupannya dengan aktiviti berbentuk ilmiah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 107-108) dan (Maskara- Nazzam. 1998: 98).  
3.1.2 Muhammad Abduh dan Gerakan Pan-Islamisme
Gerakan Pan-Islamisme merupakan satu fenomena politik yang berlaku dalam dunia Islam pada pertengahan kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Ia muncul ketika pemikiran Muhammad Abduh telah bebas dari belenggu pemikiran gurunya Jamal al-Din al-Afghani. Beliau berpendapat Dawlah Uthmaniyyah merupakan simbol perpaduan politik umat Islam. Malah setiap umat Islam wajib memelihara dan menggerakkan Dawlah Uthmaniyyah. Keterlibatan dan komitmen mereka terhadap Dawlah dianggap sebahagian dari akidah umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 27).
Menurut Muhammad Abduh, kebanyakan pemimpin Islam dan umat Islam ketika itu marah serta benci terhadap tindakan Sultan Abdul Hamid II ketika beliau menerajui Dawlah Uthmaniyyah., malah Muhammad Abduh juga turut terkesan dengan tindakan Sultan yang dianggap zalim dan menindas. Walaupun begitu, Muhammad Abduh masih memujuk seluruh umat Islam agar sentiasa memberi kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Dawlah Uthmaniyyah.  Menurut Muhammad Abduh, Dawlah Uthmaniyyah satu-satunya perisai dan benteng  bagi seluruh umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 28).
Selain itu, Muhammad Abduh juga mengajak seluruh rakyat di bawah naungan Uthmaniyyah agar berusaha mempelajari bahasa Turki selain bahasa Arab, malah ia wajib dipelajari kerana digunakan oleh para cendekiawan dan ulama untuk menulis, membaca dan menyebarkan ilmu pengetahuan serta merupakan bahasa rasmi Dawlah Uthmaniyyah. Justeru mempelajari bahasa Turki merupakan satu keperluan bagi menjaga maslahat mereka (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 28).
Tambahan lagi, ketika berlakunya perang antara Uthmaniyyah dan bangsa Yunani, Muhammad Abduh berusaha memberi semangat agar umat Islam terus menyokong Dawlah tersebut. Beliau percaya bahawa memelihara keutuhan Dawlah Uthmaniyyah merupakan antara rukun iman yang ketiga selepas keimanan kepada Allah dan Rasulullah s.a.w kerana ia simbol keagungan dan kedaulatan agama Islam. Menjadi kewajipan untuk patuh dan memberi sokongan kepada Dawlah tersebut (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 29).
Walaupun begitu, sebenarnya terdapat perbezaan pendiriannya ketika beliau bebas dari daerah pengasingan. Penentangannya terhadap Dawlah Uthmaniyyah jelas ketara apabila beliau berada di Mesir. Antaranya beliau telah menceritakan tentang kezaliman Sultan Abdul Hamid kepada sahabat dan muridnya. Tambahan lagi, ketika Dawlah Uthmaniyyah mengarahkan angkatan tentera Turki ke Mesir untuk membantu mempertahankan Mesir dari serangan Britain tetapi Muhammad Abduh menolak bantuan yang dihulurkan oleh Sultan Abdul Hamid melalui sepucuk surat (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 29-30).
Menurut Dr.Imarah, pendirian Muhammad Abduh menentang Turki dan Sultan Abdul Hamid malah menyokong kependudukan Inggeris di Mesir merupakan salah satu strateginya. Sebenarnya sokongan yang diberikan oleh Muhammad Abduh kepada Dawlah Uthmaniyyah hanya taktik beliau semata-mata kerana inginkan pengampunan serta diberi keizinan untuk kembali semula ke Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 31).
3.1.3 Pemikiran Politik Muhammad Abduh Dalam Penulisan
Perbincangan ini hanya melibatkan pemikiran tokoh terhadap politik sahaja. Maka, sudah tentu pemikirannya bersifat subjektif dan dan sukar untuk dianggap sebagai teori-teori politik Islami. Justeru, pemikiran Muhammad Abduh ini tidak lebih daripada pemikiran sarjana-sarjana Muslim tentang politik yang terhasil dalam sejarah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153).
Ini kerana, Muhammad Abduh sendiri tidak pernah menghasilkan sebuah risalah mengenai teori politik. Malah dalam tulisan-tulisan yang dihasilkan pada peringkat awal hanya ketika beliau masih aktif dalam gerakan politik seperti dalam al-Waqa’ al-Misriyyah dan al-Urwah al-Wuthqa’. Tetapi sebahagian besarnya hanya melibatkan seruan ke arah reformasi akhlak dan budaya atau tentang polisi kuasa-kuasa Barat dalam dunia Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153).
Tulisan-tulisan yang dihasilkan beliau selepas meninggalkan kegiatan politik boleh dikatakan hanya terbatas kepada isu-isu reformasi kemasyarakatan, pendidikan dan perundangan Islam semata-mata. Oleh itu, sangat sukar untuk membentangkan pemikiran politik beliau kerana tidak banyak tulisan mengenai politik yang dibentangkan secara berstruktur, sistematik dan terperinci. Ini kerana, aspek pemikiran politik beliau hanya terbatas berdasarkan pada makalah-makalah yang tersiar dalam al-Urwah al-Wuthqa’(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153) .
Sebelum Muhammad Abduh melibatkan diri dalam persatuan atau gerakan al-Urwah al-Wuthqa’ yang juga telah menerbitkan majalah yang menggunakan nama yang sama iaitu al-Urwah al-Wuthqa’. Beliau telah pun terlibat secara serius dalam bidang penulisan apabila dilantik sebagai ketua Pengarang warta rasmi Kerajaan iaitu al-Waqa’I al-Misriyyah pada tahun 1880M. Ia merupakan suratkhabar kerajaan yang mengandungi berita dan ulasan-ulasan yang berkaitan dengan persoalan dan permasalahan sosial, politik, hukum, agama dan juga pendidikan. Menerusi surat khabar inilah Muhammad Abduh menyuarakan pandangannya mengenai perlunya pembebasan dan kebebasan masyarakat Islam amnya dan masyarakat Mesir khasnya daripada belenggu penjajahan Barat. Beliau menggunakan al-Quran sebagai senjata untuk menyuarakan penentangan beliau terhadap campur tangan Inggeris dan Perancis di Mesir. Namun selepas itu, beliau telah dibuang negeri kerana terlibat dalam pemberontakkan Urabi (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 118-119).
3.1.4 Sistem Pemerintahan
Mengenai politik dan pemerintahan melalui penulisan Muhammad Abduh, beliau melihat setiap masyarakat secara tabii dan logik memerlukan suatu pemerintahan . Menurutnya pada mulanya manusia membina masyarakat secara tidak sengaja apabila mereka ditimpa malapetaka yang memaksa mereka bersatu.Akan tetapi,setelah masyarakat mula teratur dan orang merasa aman, mereka secara semulajadi kembali semula berebut dan bermusuhan antara satu sama lain, kerana walaupun mereka hidup setempat, matlamat mereka berbeza. Masing-masing tidak bersedia menyerah kepada orang lain. Sehinggalah muncul seorang yang mendapat sokongan terkuat di kalangan mereka menguasai masyarakat (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 155).
            Ketika itu, setiap individu masih sibuk dengan urusan masing-masing dan tidak memberi perhatian kepada kebajikan ramai. Akan tetapi, setelah melalui peristiwa yang serupa berulang kali, mereka akhirnya menyedari kepentingan ramai. Daripada kesedaran ini, munculnya pandangan umum (al-ra’y al-Amm) yang menentukan sistem pemerintahan. Ini diperolehi hasil daripada perundingan (syura) di antara pihak-pihak yang mewakili pelbagai kepentingan. Dalam sistem ini , pandangan umum hasil perundingan memainkan peranan penting mengawal pemerintah. Dengan itu, akan lahir pemerintahan yang adil dan saksama. Ia juga bergantung kepada tahap kematangan masyarakat yang memerlukan waktu, pengalaman dan usaha bagi melahirkan pemikiran yang betul (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 156).
            Tambahan lagi, semua ini memerlukan kepada kesepaduan semangat dan kesatuan pandangan dalam masyarakat. Ini kerana, kerjasama antara anggota masyarakat sangat penting dalam segala hal. Sekalipun otaknya bergeliga , dia tetap perlu kepada perundingan dan pandangan daripada pelbagai kalangan. Hasil daripada ini juga, boleh mencambahkan kekuatan dan kekuasaan dalam pemerintahan. Bertindak dengan semangat kesepaduan dan rasa kesatuan ini diistilahkan oleh Muhammad Abduh sebagai al-taassub dan semangat serta rasa itu sendiri sebagai al-Asabiyyah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007:157).
Terdapat dua sumber bagi al-Asabiyyah ialah ikatan darah keturunan yang merupakan asas dan ikatan aqidah atau anutan kepercayaan. Selama kedua-dua asabiyyah dan taasub ini bersifat sederhana, maka pemerintahan dan masyarakat akan berjalan dengan baik dan sempurna. Akan tetapi, sekiranya semangat tersebut lemah dan rendah, maka pemerintahan dan masyarakat akan runtuh dan masyarakat akan musnah. Muhammad Abduh menambah, kesepaduan yang berasaskan ikatan aqidah atau kepercayaan akan lebih mantap sifatnya, lebih suci dan berfaedah. Ini kerana,semangat kesepaduan berasaskan agama Islam dan ajarannya membawa kecemerlangan ketamadunan Islam suatu ketika dahulu (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 157).
Namun begitu, Muhammad Abduh tidak menamakan kemuncak sistem pemerintahan yang dibayangkannya sebagai sistem khilafah. Di dalam tulisan-tulisannya tidak pernah disebut secara langsung menyeru menghidupkan semula sistem khilafah. Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa sistem pemerintahan yang terbaik ialah berdasarkan undang-undang Islam serta pelaksanaannya dan persetujuan ramai. Ini kerana, sistem pemerintahan Islam ditentukan melalui satu doktrin Islam yang khusus, serta diputuskan melalui perundingan di kalangan masyarakat Islam dari semasa ke semasa mengikut keadaan (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 157).
Oleh itu, sistem pemerintahan Islam bukanlah sistem teokrasi. Eropah menyatakan bahawa pemerintah menerima secara langsung daripada tuhan  dan bersifat agama dan undang-undang. Ia tidak boleh ditentang kerana ketaatan kepadanya. Ini berlainan dari sudut pandangan Islam bahawa sebagai pemerintah sivil (awam) atau hakim madani (civil ruler) yang perlantikannya ditentukan oleh orang ramai atau wakilnya yang bertindak mengawasi pemerintah dan berkuasa melucutkan jawatannya apabila dirasakan perlu (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 158).
Beliau menjelaskan bahawa pemerintah ada batasannya. Sunggupun mesti ditaati, pemerintah tidak lebih daripada manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dipengaruhi oleh perasaan. Oleh itu, hanya perundingan dan sistem syura dapat mengawal pemerintah daripada melakukan kesilapan atau dipengaruhi oleh perasaan(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 159).
3.1.5 Kelayakan Pemerintah
Sungguhpun Muhammad Abduh tidak membicarakan secara sistematik soal sistem pemerintahan dalam Islam, beliau telah mengemukakan secara tidak langsung dalam tulisan-tulisannya beberapa syarat yang perlu ada pada seorang calon pemerintah dalam sistem tersebut. Sebahagian daripada syarat-syarat tersebut tidak terkeluar daripada syarat-syarat yang disenaraikan oelh sarjana-sarjana klasik(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 159).
Di antara syarat-syarat lain yang penting dan utama disebutkan oleh beliau ialah Perdana Menteri mestilah seorang Muslim dan memiliki keupayaan untuk melaksanakan undang-undang Islam. Dalam masa yang sama, menolak sama sekali seorang calon itu mestilah berketurunan Quraysh. Menurutnya kekuasaan pemerintah bukan berdasarkan warisan atau keturunan bangsa, puak atau suku tertentu. Ini kerana ia boleh menjadi punca perpecahan ummat Islam kerana memperjuangkan semangat asabiyyah(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 161).
3.1.6 Perlucutan Jawatan
Antara lain yang disentuh oleh Muhammad Abduh secara sepintas lalu ialah perlucutan jawatan pemerintah. Menurut beliau, pemerintah yang bersifat autokrat dan membawa keburukan dan kemusnahan kepada rakyat dan negara , maka hendaklah dilucutkan jawatannya. Muhammad Abduh dengan tegas menyatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab melantik dan memilih pemerintah mestilah bertanggungjawab juga untuk melucutkan jawatan pemerintah tersebut demi kepentingan ummat dan masyarakat (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 161).
Beliau juga membenarkan penggunaan kekerasan sekiranya perlu, dalam menjatuhkan pemerintah daripada kedudukannya. Beliau juga berpendapat bahawa pemerintah boleh dicegah dan dihalang daripada kesilapan dan hawa nafsunya melalui perundingan yang diberi oleh masyarakat sama ada dengan kata-kata teguran atau tindakan. Pandangan seperti inilah besar kemungkinan yang mempengaruhi beliau terlibat dalam pemberontakan Urabi (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 162).
Justeru, dapatlah difahami disini bahawa, penglibatan Muhammad Abduh dalam bidang politik adalah kerana keadaan atau suasana menggerakkan beliau untuk turut terlibat dalam bidang politik untuk memberi petunjuk dan jalan bagi membolehkan pemerintahan Islam ketika itu dapat melaksanakan pemerintahan Islam secara keseluruhan.
3.2 Penglibatan Muhammad Abduh dalam Pendidikan
Idea-idea pembaharuan merupakan gagasan yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi dan politik. Golongan pemikir Islam pada abad ke 20 M turut memainkan peranan dalam menyumbangkan pemikiran dan usaha ke arah pembaharuan. Usaha-usaha pembaharuan yang dijalankan oleh tokoh-tokoh reformis Islam bersifat global kerana jaringan intelektual yang terbuka luas pada waktu itu menyeret idea pembaharuan melepasi sempadan dunia Islam di Timur Tengah(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
Idea pembaharuan yang dicetuskan oleh Muhammad Abduh di Mesir telah memberi kesan yang mendalam ke atas pemikir-pemikir Islam di rantau nusantara dan di Tanah Melayu secara khusus. Permasalahan umat Islam yang berada dalam kemunduran dan perpecahan ditangani melalui pembaharuan pendidikan Islam(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
Menurut Muhammad Abduh, tujuan pendidikan adalah untuk mendidik akal, minda dan jiwa manusia ke arah yang lebih baik. Pendidikan Islam juga bermatlamat mendidik mereka menjadi manusia yang mampu mencapai kebahagiaan yang sepenuhnya di dunia dan akhirat. Pendidikan akal dan minda ialah proses membawa akal keluar daripada kesederhanaan dan kekosongan ilmu, serta konsep dan idea yang salah kepada maklumat dan konsep yang benar(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
Manakala pendidikan jiwa ialah usaha yang membentuk sifat dan kelakuan yang baik dalam jiwa dengan melatih jiwa tersebut supaya terbiasa dengan sifat-sifat tersebut. Ia menolak kecenderungan jiwa kepada sifat-sifat yang buruk. Keadaan ini membolehkan seseorang individu itu menjalani pembesaran yang selamat dan sempurna. Secara ringkas, pendidikan Islam menurut Muhammad Abduh member perhatian kepada dua matlamat, iaitu pembentukan minda dan pemurniaan jiwa. Kedua-dua aspek akal dan jiwa dianggap sebagai tiang pendidikan manusia kerana ia membentuk kehidupan yang seimbang dan harmoni dari segi material dan spiritual (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
3.2.1 Reformasi Pendidikan
Abduh sedar tentang bahaya dualisme dalam sistem pendidikan. Reformasi pendidikan beliau terarah kepada usaha-usaha menghapuskan dualisme dalam sistem pendidikan di Mesir, iaitu sistem pendidikan tradisional dan sistem pendidikan moden, melalui usaha-usaha penyatuan kedua-dua sistem pendidikan tersebut. Abduh berusaha melakukan sintesis berasaskan prinsip bahawa agama adalah keperluan yang mutlak dalam kehidupan manusia, demikian juga keperluan untuk mengambil dan menimba segala faedah dan manfaat yang boleh didapati melalui penguasaan sains moden (Farid Mat Zain & Ismail Bakar  2007: 223).
Umat Islam perlu menguasai ilmu pengetahuan moden supaya Islam boleh disesuaikan dengan perkembangan pengetahuan semasa, dan begitu juga sebaliknya, supaya ilmu-ilmu pengetahuan moden dapat diselarikan dengan Islam. Institusi-institusi pendidikan moden perlu didirikan dengan memberikan penekanan yang seiring di antara ilmu-ilmu pengetahuan semasa dan ilmu-ilmu agama (Farid Mat Zain & Ismail Bakar  2007: 223) dan Muhammad Syafii Antonio et al. 2012; 98).
Demikian juga, ilmu-ilmu pengetahuan semasa perlu diserapkan ke dalam kurikulum al-Azhar, supaya ulama’ lebih memahami dan mengerti ilmu dan kebudayaan moden bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap persoalan-persoalan semasa. Langkah-langkah integrasi ini bukan hanya akan memperkuatkan pendidikan agama di sekolah-sekolah kerajaan, malahan akan merapatkan jurang pemisah di antara golongan ulama’, profesional, teknokrat serta saintis. (Farid Mat Zain & Ismail Bakar  2007: 223)

3.2.2 Penglibatan Muhammad Abduh dalam Pendidikan
Sumbangan terbesar Muhammad Abduh dalam gerakan islah ialah dalam bidang pendidikan. Melalui pendidikan, beliau cuba merubah dan membentuk pemikiran rakyat Mesir supaya lebih terbuka dan akhirnya mampu menyaingi kuasa Barat yang menguasai pemikiran rakyat Mesir. Dalam usahanya ke arah itu, Muhammad Abduh telah membuat pembaharuan terhadap system pendidikan di Mesir terutamanya di al-Azhar. Terdapat tiga aspek yang ditekankan oleh beliau iaitu:
1)      Kepentingan ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan sangat penting dalam sesuatu aktiviti seperti berdakwah. Dalam menjalankan tugas dakwah, akal memainkan peranan yang sangat penting dalam menuntut ilmu pengetahuan. Kepentingan menuntut ilmu dan berpengetahuan berada di kedudukan yang sangat tinggi.
Selain itu, beliau juga menolak amalan taklid tanpa mengetahui asal dan keadaan yang sebenar. Manusia yang inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat perlu mempunyai ilmu pengetahuan, usaha dan juga amal. Bagi beliau, dengan adanya ilmu yang mantap, seseorang manusia itu tidak akan sesat dan menyimpang dari landasannya dan masalah bertaklid juga tidak akan berlaku di kalangan umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar  2007: 114).
2)      Metod Pengajian
Beliau melihat metode pengajian sangat penting untuk memperolehi sesuatu ilmu yang sempurna dan ia dapat difahami dengan jelas serta tidak akan menimbulkan kekeliruan. Ilmu yang sempurna akan diperolehi melalui pembelajaran yang sempurna. Beliau telah menjadikan metod pembelajaran negara Barat sebagai panduan dan asas kepada pembaharuan dan perubahan yang cuba dibuat.
Pada tahun 1881 M, beliau telah menerbitkan sebuah buku hasil karangannya. Buku tersebut dihasilkan kepada beberapa bahagiaan tertentu dan setiap daripadanya pula mempunyai penjelasan yang panjang lebar. Ini adalah bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Mesir dengan harapan idea-idea islah yang dilaungkannya akan diterima oleh masyarakat Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar  2007: 114). Antara bahagian-bahagian buku tersebut ialah :
i)                    Kitab Naqliyyah Diniyyah
Membincangkan masalah agama seperti ilmu kalam dan cabangnya iaitu iabdah dan muamalat.
ii)                  Kitab Aqliyyah Hukmiyyah
Membincangkan hakikat kewujudan suasana keperibadian manusia.
iii)                Kutub Adabiyyah
Membincangkan tentang idea-idea yang bernas termasuklah tentang pendidikan akhlak secara lebih khusus.
iv)                Kutub al-Akhadib
Perbincangan mengenai kisah-kisah yang sebenarnya tidak pernah berlaku atau cerita-cerita palsu yang sengaja direka.
v)                  Kutub al-Khurafat
Membincangkan mengenai benda-benda khurafat.

3)      Pendidikan melalui Pembelajaran
Idea ini tercetus semasa Muhammad Abduh berada di Beirut. Sekembalinya beliau di Mesir pada 1889M, beliau memperkenalkan kaedah ini kepada masyarakat Mesir. Menurutnya, masyarakat Mesir pada masa itu memang memerlukan bimbingan dalam hal-hal keagamaan dengan sempurna. Beliau juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang ingin melakukan islah tanpa jalan agama, sesungguhnya dia telah menabur benih-benih kehaancuran, ia tidak akan tumbuh bahkan akan rosak serta tidak mendapat apa-apa hasil (Farid Mat Zain & Ismail Bakar  2007: 114).
3.2.3 Pendidikan Agama
Abduh membahagikan pendidikan agama kepada tiga peringkat utama, iaitu:
1)      Pendidikan Agama Rendah
Pendidikan agama pada peringkat ini adalah untuk masyarakat umum yang memenuhi tenaga kerja di sektor-sektor industri, perniagaan dan pertanian. Asas-asas pendidikan agama yang diajarkan pada peringkat ini tidak memerlukan kepada keupayaan intelektual yang tinggi. Antara kursus utama pada peringkat ini ialah akidah Islam, akhlak Islam dan sejarah Islam.
2)      Pendidikan Agama Menengah
Pendidikan pada peringkat ini dikhusus kepada pegawai-pegawai kerajaan atau golongan profesional. Pada peringkat ini Abduh menyenaraikan empat kursus utama:
i.                    Pengenalan kepada asas-asas ilmu yang mencakupi logik, asas-asas penalaran dan adab perdebatan.
ii.                  Akidah Islam.
iii.                Fiqh dan Akhlak.
iv.                Sejarah Islam

3)      Pendidikan Agama Tinggi
Pendidikan pada peringkat ini dikhususkan kepada golongan pendidik di kalangan intelektual yang disebut sebagai golongan ‘urafa ‘al-ummah. Golongan ini memerlukan pendidikan agama yang mendalam yang mencakupi kursus-kursus berikut:
i)                    Metodologi tafsir al-Quran
ii)                  Bahasa Arab
iii)                Hadis
iv)                Akhlak
v)                  Usul al-Fiqh
vi)                Sejarah Nabi
vii)              Retorik dan asas-asa perdebatan
viii)            Ilmu Kalam
Pada peringkat ini, pelajar-pelajar harus diselia secara khusus oleh seorang ilmuwan. Para pelajar perlu lulus dalam peperiksaan dan mendapat perakuan daripada penyelia tahap kesempurnaan keilmuan dan amalannya sebelum mendapat kelulusan. (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007:226) dan (Ismail Jamil. 1947: 151).

3.2.4  Penglibatan Muhammad Abduh dalam Bidang Bahasa dan Kesasteraan Arab
Muhammad Abduh juga banyak memberikan sumbangan dalam bidang sastera dan kesusasteraan Arab. Antaranya beliau pernah menyunting beberapa buah karya klasik dalam bidang berkenaan. Beliau pernah menyunting buku tentang ilmu Balaghah karya Abd al-Qahir al-Jurjani bertajuk “Asrar al-Balaghah”. Dalam bidang kesusasteraan Arab pula, beliau menyunting Maqamat dan tulisan Badi’ al-Zaman al-Hamadhani(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Muhammad Abduh merupakan orang pertama bertanggungjawab menyunting dan mengedit Maqamah ciptaan Badi al-Zaman al-Hamadhani. Selepas itu, beberapa lagi ilmuan Arab yang juga turut sama menyunting kembali. Sebagai contoh, Muhammad Muhyi al-din Abd al-hamid juga turut memberikan sumbangannya dengan suntingan beliau berjudul “Sharh Maqamah Badi al-Zaman al-Hamadhani” dan telah dicetak di Cairo pada 1962(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Pada tahun 1983, Ali Fa’ur sekali lagi menerbitkan semula maqamah Badi al-Zaman al-Hamadhani. Suntingan terakhir yang ditemui ialah hasil usaha Ali Abu Milham yang dicetak pada tahun 1993. Walau bagaimanapun, suka dimaklumkan bahawa suntingan Muhammad Abduh dijadikan sebagai asas dan panduan kepada suntingan selepasnya. Merujuk kembali kepada suntingan Muhammad Abduh didapati penyunting memang telah melakukan kerja-kerja penyuntingan dan pengeditan dengan sebaik mungkin. Oleh kerana, sebahagian besar perkataan-perkataan yang digunakan dalam Maqamah adalah perkataan-perkataan Arab yang sukar untuk difahami samada oleh penuturnya sendiri, apatah lagi kepada mereka yang baru saja mendalami bahasa ini(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Oleh itu, tugas utama yang dilakukan oleh Muhammad Abduh ialah menerangkan dan menjelaskan maksud perkataan-perkataan tersebut. Ini boleh dilihat dengan jelas dalam setiap halaman buku ini. Di samping itu, Muhammad Abduh juga turut menerangkan fungsi dan tatabahasa kepada sebahagian besar perkataan dalam teks Maqamah(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Sebelum melakukakan proses penyuntingan Muhammad Abduh menulis dua halaman sebagai prakata. Antara kandungan prakatanya ialah beliau memperkenalkan ketokohan Badi al-Zaman al-hamadhani dan karyanya. Muhammad Abduh juga menjelaskan bahawa pembaca menghadapi kesukaran untuk memahami makna perkataan-perkataan yang terisi dalam Maqamah. Justeru, beliau berusaha untuk memberikan penjelasan kepada setiap perkataan yang sukar difahami. Di samping itu, beliau juga menjelaskan bahawa beliau menghadapi kesukaran dalam menentukan kesahihan teks Maqamah. Walaupun begitu, beliau dapat mengatasi masalah itu dengan berbantukan beberapa naskhah manuskrip Maqamah yang beliau temui. (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55)

3.2.5 Pendidikan Sains Moden
Muhammad Abduh bukanlah seorang saintis atau setara dengan tokoh-tokoh ilmuawan Islam terdahulu yang mendalami sains semasa pada zaman mereka, namun beliau adalah seorang tokoh reformis yang sangat berpengaruh dalam usaha belaiu memartabatkan sains. Abduh tidak merangka suatu kurikulumyang sistematik dalam pengajian sains kerana kursus-kursus seperti matematik dan sains tabii adalah tertakluk kepada sukatan yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui kementeriannya. Walau bagaimanapun dengan kegigihan beliau, subjek-subjek seperti geometri, geografi, arismatik dan algebra telah berjya diperkenalkan dalam kurikulum al-Azhar lima tahun sebelum kematiannya (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:226).
            Dalam suasana masyarakat yang sangat konservatif, beliau merasa perlu dinyatakan secara tegas tentang keharmonian yang terjalin di antara akal dan wahyu yang bertujuan untuk mengangkat martabat sains moden sebagai satu cabang ilmu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan seterusnya sebagai sandaran kepada usaha-usaha beliau untuk mengintegrasikan sains dalam kurikulum al-Azhar (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:227).
            Menurut Muhammad Abduh, akal dan wahyu adalah sumber bagi ilmu pengetahuan. Al-Quran menggesa manusia menggunakan akal bagi merenung dan meneliti fenomena alam ini untuk sampai kepada rahsia-rahsia yang tersembunyi disebaliknya (Ali Mufrodi. 1997:161). Dalam keghairahan beliau untuk menegaskan bahawa Islam tidak bertentangan dengan sains moden, beliau ternyata terlalu apologetik.  (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
            Tambahan lagi, beliau menekankan tentang perlunya sintesis terhadap sains Barat dan mengkritik golongan yang menjadi pendokong proses pembaratan. Idea-idea barat perlulah ditapis , disaring dan sterusnya diketengahkan di kalangan masyarakat tanpa meminggir dan menghapuskan asas-asas keagamaan kerana analisis yang kristis terhadap idea-idea ini akan menyebabkan berlakunya pemindahan nilai dan budaya tanpa bersandarkan kepada asas-asas yang kukuh(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:288). Oleh itu, perlulah menolak sikap terus mengikut secara membabi buta( al-taqlid al-a’ma) dan berterusan mengambil sains moden tanpa melihat terlebih dahulu kepada asas-asasnya. Maka berlakulah keruntuhan akhlak dan dan budaya kerana berlaku pengalihan pemikiran mengikut barat.
            Oleh itu, jelas bahawa pembawakan reformasi pendidikan oleh Muhammad Abduh ini sebenarnya telah memberi banyak sumbangan kepada dunia pendidikan Islam. Rasa tangungjawab beliau terhadap masyarakat ketika itu membuatkan beliau terpanggil bahawa reformasi pendidikan merupakan cara yang paling terbaik selepas beliau terlibat dalam bidang politik pada mulanya.

4. ANALISA PEMIKIRAN MUHAMMAD ABDUH
4.1 Pemikiran Politik Muhammad Abduh
Muhammad Abduh bukanlah seorang ahli teori pemikiran politik dalam Islam. Beliau tidak pernah menghasilkan sebuah tritis yang membincang sistem pemerintahan dalam Islam secara sistematik. Namun, oleh kerana Islam tidak dapat dipisahkan dengan politik dan Muhammad Abduh sendiri yang dipandang sebagai mewakili inteligensia Islam pernah terlibat dalam kegiatan politik secara aktif, maka tulisan-tulisannya pasti tidak dapat dielakkan daripada mengandungi unsur-unsur politik dan pemikiran mengenai pemerintahan (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:162).
            Adalah jelas bahawa Muhammad Abduh agak terpengaruh dengan Ibn Khaldun dalam menanggapi pertumbuhan institusi politik dalam masyarakat, yang melihat pertumbuhan ini sebagai sesuatu yang tabii hasil pengalaman masyarakat. Sungguhpun begitu, satu sistem pemerintahan yang berlandaskan Islam tidak dapat lahir melalui pengalaman semata-mata, sistem ini hanya datang melalui wahyu (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:163).
Akan tetapi, pada pandangan Muhammad Abduh, apakah sistem itu dipanggil khilafah atau lainnya bukanlah sesuatu yang pokok. Yang penting bagi beliau ialah bagaimana pemerintah mendapat kekuasaan , beroperasi dan apakah dasar pemerintahannya. Beliau menolak sama sekali pemerintahan yang berdasarkan keturunan atau warisan. Baginya, pemerintah mestilah mendapat persetujuan ummat secara jujur , bukan dengan paksaan atau penipuan (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:163).
Tambahan lagi, pemerintah hendaklah dipilih berdasarkan keutamaan keislamannya dan dikendalikan melalui perundingan di antara pemerintah dan wakil-wakil masyarakat dalam bentuk dewan perwakilana, bukan mengikut nafsu individu atau bersifat autokrat.Tugas utama pemerintah ialah melihat terlaksananya ajaran Islam dalam segenap aspek, termasuklah perundangan.Inilah bagi beliau raison d’etre sebuah pemerintahan Islam. Bagi beliau pemerintahan Islam bukanlah teokrasi yang difahami barat (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:163).
Kesimpulan Pemikiran Politik Muhammad Abduh boleh dikategorikan kepada lima perkara iaitu:
1.      Kebekuan dan kesempitan wawasan terhadap agama dan kepercayaan akan membawa kepada pemerintahan yang zalim dan juga penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan.
2.      Wawasan yang rasional akan menjadikan rakyat tertarik dengannya dan menjadikannya sebagai panduan. Ia juga menjanjikan hubungan antara rakyat dan kekuasaan bergantung kepada apa yang dikehendaki oleh rakyat dan pemerintahan pula akan muncul daripada kesatuan.
3.      Islam bukan sekadar mengakui kekuasaan agama. Semua umat Islam faham bahawa Islam berasaskan al-Quran dan Hadith. Beliau menafikan bahawa Islam memaksa semua orang untuk menerima Islam. Beliau menyatakan Islam adalah dakwah dan mengakui bahawa Islam adalah sebagai petunjuk dan nasihat.
4.      Kekuatan agama Islam ialah ummah atau masyarakat. Pemerintah mesti mengambil berat soal kebajikan rakyat dan prihatin terhadap perubahan yang berlaku.
5.      Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan agama, ini tidak bermakna Islam terpisah daripada kuasa undang-undang. Sebagai seorang pemikir Islam moden, beliau melihat Islam sebagai agama dan syariah sebagai undang-undang dalam kehidupan.
Justeru, Muhammad Abduh telah membahagikan asas politik Islam kepada tiga kepentingan iaitu kebebasan, syura(rundingan) dan syariah(undang-undang). Sistem syura adalah petunjuk asas kepada kebebasan politik yang mana kerajaan harus memerintah rakyat berdasarkan kepada petunjuk. Sementara ulama pula , bukanlah hanya untuk berkongsi idea dalam syura sahaja tetapi mempunyai tugas yang penting sebagai pengawal dan pengkritik. Bagi beliau, tidak ada undang-undang tanpa kebebasan  dan kebebasan berpendapat adalah perkara yang sangat penting dalam menyelesaikan masalah(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:110-111).     


4.2 Reformasi  Pendidikan
Pendidikan merupakan instrumen yang terpenting dalam gerakan pembaharuan Muhammad Abduh bagi mengatasi kemunduran dan kelesuan pemikiran umat Islam. Beliau sangat menitik beratkan terhadap sistem pendidikan tradisional dan juga sistem pendidikan moden. Beliau sedar tentang bahaya dualisme dalam sistem pendidikan dengan mengatur langkah-langkah bagi penyatuan kedua-dua sistem pendidikan tersebut (an intergrated system of education)  bagi membentuk akal dan jiwa manusia yang sempurna untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
            Beliau berusaha melakukan sintesis berasaskan prinsip bahawa agama adalah keperluan yang mutlak dalam kehidupan manusia, tanpa menafikan keperluan untuk mengambil segala faedah dan manfaat melalui penguasaan sains moden. Dalam suasana zamannya yang serba mencabar, Abduh ternyata seorang refomis yang mampu menyatakan dan menyakinkan secara yang berkesan bahawa Islam adalah sebuah agama yang sentiasa sesuai kepada golongan yang berpendidikan moden, di samping mendapat tempat di kalangan yang berfikiran tradisional. Beliau bukanlah seorang saintis tetapi merupakan seorang tokoh reformis yang sangat berpengaruh dalam usaha memartabatkan sains(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
            Bahkan , atas kegigihan beliau itulah subjek-subjek seperti geometri, arismatik dan algebra telah diintegrasikan dalam kurikulum al-Azhar. Walau bagaimanapun, dalam keghairahan beliau untuk menegaskan bahawa Islam tidak bertentangan dengan sains moden, Abduh membuka seluas-luasnya ruang kepada penghuraian yang bersifat rasional, bahkan ternyata sangat apologetik (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
            Di samping itu, beliau juga mampu menguasai pelbagai ilmu Islam iaitu bahasa dan kesusasteraan Arab. Ini terbukti dengan kemampuan beliau dalam penyuntingan Maqamah karya Badi’ al-Zaman al-Hamadhani. Melalui edisi penyutingan beliau dan juga terjemahan W.Prendergast, peminat dan pengkaji sejarah kesusteraan Arab dapat membaca dan menghayati genre Maqamah dengan lebih jelas dan lebih bermanfaat(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:62-63).


4.3 Prinsip Pemikiran Pembaharuan Muhammad Abduh
Maka , dapatlah disimpulkan disini, bahawa prinsip pemikiran pembaharuan Muhammad Abduh yang diusahakan dan diperjuangkan  adalah demi membuat atau menonjolkan penyesuaian antara Islam dan  kemajuan moden yang mana boleh diperincikan kepada tiga aspek berikut :pertamanya agama bukanlah penghalang kepada perubahan dan kemajuan kebendaan(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:48).
Keduanya beliau keluar daripada tradisi berfikir yang rigid dan jumud atau tertutup yang mengambarkan Islam sebagai ideologi yang beku dan tidak berpijak di bumi nyata. Justeru itu agama tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan ilmu pengetahuan , lebih-lebih lagi ilmu moden, sains teknologi dan teknikal(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:48).
Ketiganya, Muhammad Abduh berusaha menghubungkan Islam dengan masalah semasa atau kotemporari yang merupakan sebahagian daripada perubahan budaya masyarakat Mesir pada akhir abad ke 19. Dari inilah usaha dan upaya reformasi yang mahu dilakukan dalam sistem pendidikan Mesir dan al-Azhar secara khususnya(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:48).
            Maka dapatlah difahami di sini bahawa, penukaran idea beliau daripada bidang politik ke bidang pendidikan merupakan tindakan yang paling memberi kesan kepada masyarakat seluruh dunia Islam. Penelitian beliau terhadap perjuangan gurunya al-Afghani dengan dunia politik yang tidak memberi kesudahan itu, telah membawa Muhammad Abduh menukar cara atau islahnya bagi masyarakat ketika itu dengan pembaharuan pendidikan. Ini kerana, berdasarkan penilitian kami bahawa, pendidikan yang digunakan secara beransur-ansur ini akhirnya berkesan kepadan tindakan masyarakat Islam ketika itu dan sekali gus memberi sumbangan tajdid atau pembaharuan yang dibawa oleh beliau kepada dunia ilmuan Islam  dan telah membawa seribu satu erti kepada ummat Islam.
            Justeru, tidak dapat dinafikan lagi bahawa, apa yang diperjuangkan oleh beliau dalam reformasi pendidikan ini mampu mengubah dunia Islam kepada arus pemodenan dan lebih cemerlang selari dengan syariat Allah.


5.PENUTUP
Perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Muhammad Abduh selaku tokoh Islah atau reformasi telah meninggalkan kesan yang besar ke arah kebangkitan dan kesedaran umat Islam. Beliau merupakan sorang tokoh islah yang berjaya dalam programnya walaupun menghadapi pelbagai masalah dan rintangan. Gagasan idea yang dibawa dan diserapkan dalam pemikiran dan kehidupan umat Islam banyak mempengaruhi pemikiran dan intelektual umat Islam kini (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:121).
            Program islah Muhammad Abduh boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk dan dua peringkat. Pada awalnya beliau memilih bidang politik untuk menyebarkan idea pengislahannya dan ini merupakan hasil dan pengaruh daripada gurunya, Jamal al-Din al- Afghani yang memperjuangkan kebangkitan ummat Islam melalui bidang politik. Bagaimanapun, setelah beberapa ketika, beliau telah menukar program islahnya dengan memilih bidang pendidikan sebagai lapangan perjuangan yang baru kerana beliau yakin usahanya untuk membawa keluar umat Islam daripada kelemahan dan kemunduran hanya akan berjaya dilaksanakan melalui bidang pendidikan (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:121).
Tambahan lagi, selepas penglibatan Muhammad Abduh dalam pemberontakkan Urban yang menyebabkan beliau diusir keluar daripada Mesir, kemudian telah dihentikan pengeluaran majalah al-Urwah al-Wuthqa’,   beliau lebih memberi tumpuan dan aktif kepada reformasi dalam bidang agama melalui pendidikan. Melalui reformasi pendidikan ini, beliau berharap keadaan ummat Islam, terutama di Mesir yang telah jatuh dibawah pemerintahan Inggeris akan dapat diperbaiki. Dengan membaiki kefahaman agama dan memberi mereka pendidikan yang sesuai dengan zaman mereka dalam bentuk evolusi iaitu secara berperingkat (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:164).
Usaha islah Muhammad Abduh banyak disebarkan melalui hasil tulisan beliau di sepanjang penglibatannya sebagai tokoh reformasi. Pembaharuan dan perubahan yang dilakukannya terhadap sistem pendidikan di Mesir  khususnya al-Azhar , telah merubah pandangan masyarakat Islam. Beliau berjaya mempengaruhi pemikiran umat Islam supaya menerima pemodenan walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuklah ulama Azhar sendiri yang menganggapnya terlalu menyanjung barat. Sedangkan itulah cara dan idea Muhammad Abduh untuk memajukan umat Islam supaya tidak terus dicengkam oleh kuasa penjajahan dan mampu menyaingi kuasa mereka (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:121).
Untuk menilai pencapaian beliau, memerlukn satu kajian yang khusus. Akan tetapi, melihat keadaan Mesir hari ini selepas 100 tahun kewafatan beliau, Reformasi Muhammad Abduh nampaknya tidak mendatangkan hasil sepenuhnya. Ini kerana, pendidikan boleh dirancang sebaik mungkin, tetapi pelaksanaannya bergantung kepada banyak faktor. Pemerintah berkuasa menggunakan seribu macam sekatan untuk menghalang reformasi yang dirancang itu. Pelbagai peraturan dan undang-undang yang boleh digubalnya untuk menghalang reformasi pendidikan menjadi aliran arus perdana. Hasilnya, jika dahulu Mesir dijajah oleh Inggeris, tetapi kini rakyat Mesir semacam dijajah oleh pemerintahnya sendiri.
Namun begitu, walaupun ideanya belum sepenuhnya dilaksanakan , akan tetapi telah jelas bahawa Muhammad Abduh merupakan seorang tokoh islah yang berjaya dalam usahanya membuat pembaharuan terhadap sistem pendidikan umat Islam. Beliau telah dilihat oleh sejarawan sebagai seorang tokoh islah yang memberi sumbangan dan meninggalkan kesan yang besar terhadap sistem pendidikan umat Islam dan seterusnya memajukan umat Islam. Kesan pembaharuan beliau bukan sahaja dirasai oleh umat Islam di Mesir malah bidang pendidikan di Tanah Melayu juga telah menerima pakai pengaruh dan ideanya iaitu antaranya Syeikh al-Hadi (Nurizan Baharom 2011:393 ). Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa Muhammad Abduh adalah seorang tokoh islah atau reformasi yang terkemuka dan berjaya dalam mengembangkan idea pembaharuan terhadap umat Islam. (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:121)