1.PENDAHULUAN
Muhammad bin ‘Abduh adalah seorang tokoh yang tidak asing dalam
sejarah perjuangan dan peradaban umat Islam. Selain dari menabur jasa dalam
bidang ilmu pengetahuan, beliau juga banyak meninggalkan bakti terhadap
kebangkitan ummah dalam arena politik, sosial, ekonomi dan perundangan. Justeru
banyak kajian telah dibentang mengenai sumbangan beliau dalam berbagai bidang,
sama ada berbentuk artikel, buku hinggalah kepada tesis (Farid Mat Zain &
Ismail Bakar 2007: 1).
Pada abad ke 19M, gerakan islah dan pembaharuan telah bermula
dengan hebat dan meluas di kalangan masyarakat mesir. Malah bukan sekadar di
Mesir, sebaliknya kewujudan gerakan-gerakan pembaharuan dan kemunculan
tokoh-tokoh reformis telah memberi kesedaran kepada seluruh dunia Islam pada
waktu itu. Gerakan gerakan pembaharuan yang muncul bersama idea-idea
pembaharuan dan gagasan pemikiran yang bernas, tidak lain adalah untuk
menyedarkan umat Islam supaya kembali kepada zaman kegemilangannya, seterusnya
memajukan umat Islam agar mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara
maju yang lain (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 99).
Gerakan pembaharuan atau pengistilahan ini dipelopori oleh beberapa
tokoh ulama yang terkenal seperti Sayyid Jamal al-Din al-Afghani dan juga
Shaykh Muhammad ‘Abduh. Mereka merupakan golongan yang berpendidikan tinggi dan
mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia menerima pemodenan. Hasil
daripada kesedaran ini, maka golongan tersebut telah mempelopori gerakan
pembaharuan di Mesir. Shaykh Muhammad ‘Abduh merupakan salah seorang tokoh
islah yang telah berjaya menyebarkan idea-idea islah beliau terhadap sistem
pendidikan di Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 99).
2.BIOGRAFI MUHAMMAD ABDUH
2.1 Latar Belakang Peribadi
Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin ‘Abduh bin Hasan bin
Khayrullah. Nama beliau dikatakan mempunyai maksud dan keistimewaan yang
tersendiri. Menurut tulisan Muhammad Rasid Rida yang juga merupakan murid
Muhammad ‘Abduh yang paling kanan dalam kitabnya Tarikh al-Ustadh al-Imam
al-Shaykh Muhammad ‘Abduh, tidak ramai rakyat Mesir pada waktu itu yang
menggunakan nama Muhammad ‘Abduh. Muhammad adalah merujuk kepada Nabi Muhammad
(s.a.w) manakala ‘Abduh pula bermaksud hambaNya. Perkataan ‘nya’ yang
dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada Allah (Farid Mat Zain & Ismail
Bakar 2007: 100).
Bapa Shaykh Muhammad ‘Abduh bernama ‘Abduh bin Hasan Khayrullah dan
dikatakan berasal dari keturunan Turki tetapi telah lama menetap di Mesir.
Sementara ibunya pula berasal dari bangsa Arab. Menurut catatan sejarah,
salasilah keturanan ibunya sampai kepada khalifah yang kedua iaitu Khalifah
‘Umar bin al-Khattab. Oleh yang demikian, keluarga Shaykh Muahammad ‘Abduh
adalah daripada keturunan campuran bangsa Arab dan Turki (Farid Mat Zain &
Ismail Bakar 2007: 100) dan (Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad nor 2009: 148-149).
Shaykh Muhammad ‘Abduh dilahirkan pada 1265H/1849M di Mahallah Nasr
iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak di daerah Buhayrah di Mesir
(al-‘Aqqad 1960: 83). Walau bagaimanapun, timbul beberapa percanggahan pendapat
tentang tarikh dan tempat kelahiran Shaykh Muhammad ‘Abduh. Menurut sesetengah
pendapat, beliau dilahirkan sebelum tahun 1849M. Perbezaan pendapat yang
berlaku ini adalah disebabkan oleh suasana negeri Mesir yang berada dalam
keadaan kacau bilau pada akhir zaman pemerintahan Muhammad Ali. Namun begitu,
tahun 1849M secara umumnya telah digunakan oleh para sarjana sebagai tarikh
kelahiran Shaykh Muhammad ‘Abduh (Harun 1975:57) dan (Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad nor
2009: 141-142).
Latar belakang keluarga Shaykh Muhammad ‘Abduh agak berbeza
berbanding tokoh-tokoh pemikir Islam yang lain. Beliau lahir dalam sebuah
keluarga yang bukan mempunyai latar belakang pengajian yang tinggi. Beliau
merupakan anak kelahiran daripada sebuah keluarga petani yang tidak mempunyai
pendidikan tinggi tetapi mempunyai jiwa keagamaan yang kukuh dan teguh serta
menitikberatkan soal pendidikan anak-anak. Shaykh Muhammad ‘Abduh telah
membesar dengan asuhan dan didikan kedua orang tuanya sebelum beliau dihantar
oleh bapanya untuk mempelajari dan seterusnya menghafaz kitab suci al-Quran(Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 100).
Sebelum menetap di Masallah Nasr, bapanya telah dikatakan telah
berpindah-randah dari satu desa ke desa yang lain. Perpindahan yang berlaku
tersebut adalah disebabkan oleh ketidakstabilan politik dalam pentadbiran Mesir
pada waktu itu. Dalam masa setahun, bapanya telah dikatakan berkali-kali
berpindah ke beberapa buah desa sebelum membeli sebidang tanah dan seterusnya
menetap di Mahallah Nasr. Dalam masa perpindahan dan perantauan inilah bapanya
telah berkahwin dengan ibunya yang kemudiannya terus menetap di desa yang
akhirnya menjadi kediaman mereka sekeluarga hingga lahirnya Muhammad ‘Abduh(Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 101).
Mesir pada ketika itu berada dalam keadaan tidak stabil akibat
kekacauan yang ditimbulkan oleh pegawai-pegawai Muhammad Ali. Kekacauan
dilakukan oleh penguasa-penguasa yang dilantik ole Muhammad Ali yang
menggunakan kekerasan untuk mengutip cukai ke atas tanah-tanah pajak mereka
terhadap golongan petani. Oleh kerana hal inilah golongan petani mula berpindah
dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari kediaman yang baru bagi
mengelakkan beban berat yang ditanggungkan ke atas bahu mereka. Bapa Muhammad
‘Abduh juga merupakan salah seorang daripada kalangan penduduk yang terpaksa
sentiasa mencari tempat baru untuk meneruskan kehidupan mereka.
(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 101)
2.2 Latar Belakang Pendidikan.
‘Abduh meletakkan harapan yang besar terhadap anaknya Muhammad.
Kekuatan pegangan agama serta keperitan hidup yang dilalui keluarganya akibat
kezaliman para pemerintah menyemarakkan semangat untuk melihat anak ini bangkit
sebagai seorang ulama dan pemimpin masyarakat yang berani menegur
pegawai-pegawai kerajaan yang zalim dan menindas. Kelapangan yang diperolehi
ketika itu membolehkan Muhammad dikecualikan dari melakukan kerja-kerja di
ladang seperti abangnya Ali dan Mahrus. Sebaliknya beliau telah diberikan
peluang untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran membaca dan menulis
di rumah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 3).
Kemudian beliau dihantar ke rumah seorang hafiz secara khusus untuk
belajar membaca dan menghafaz al-Quran. Dalam tempoh dua tahun, beliau
menamatkan bacaan dan hafalan al-Quran. Selain dari menghafal, beliau
mempelajari ayat-ayat yang dihafal. Pada tahun 1279H/1862M, ketika berusia
empat belas tahun, beliau dibawa oleh ayahnya ke Tanta untuk mendalami ilmu
Tajwid al-Quran di Masjid al-Ahmadiyy yang terkenal dengan kepakaran qarinya dalam
selok belok ilmu Tajwid dan Qiraat. Di sini beliau diawasi sendiri oleh abang
tirinya al-Shaykh Mujahid (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 3) .
Dua tahun kemudian, setelah tamat pengajian al-Quran, beliau mula
menghadiri kelas-kelas Bahasa Arab dan ilmu-ilmu Islam yang lain mengikut
kurikulum pembelajaran di Masjid al-Ahmadiyy. Selama setahun setengah beliau
berusaha untuk memahami dan menguasai pelajaran yang diikuti. Malangnya kaedah
pengajaran yang digunakan menyebabkan beliau langsung tidak dapat memahami apa
yang dipelajari. Hal ini menyebabkan beliau berasa kecewa dan putus harapan
untuk terus maju dan berjaya dalam pelajaran (Farid Mat Zain & Ismail Bakar
2007: 4).
Akibatnya, beliau melarikan diri dan bersembunyi di rumah saudara
maranya selama tiga bulan. Al- Shaykh Mujahid berjaya mengesan dan membawanya kembali ke masjid al-Ahmadiyy
supaya meneruskan pengajian. Muhammad ‘Abduh menyatakan hasratnya untuk kembali
ke kampong dan bekerja dalam bidang pertanian kerana yakin dengan
ketidakmampuannya dalam bidang pelajaran. Setelah berhujah, beliau berjaya menyakinkan abangnya dan
berangkat pulang ke Mahallat Nasr dengan niat tidak akan kembali belajar lagi
selepas itu (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 4).
Atas hasrat ini, beliau mendirikan rumahtangga pada tahun
1282H/1865, pada usia 17 tahun. Walau bagaimanapun, selepas 40 hari berkahwin,
bapanya datang memaksa beliau kembali meneruskan pelajaran di Tanta. Beliau
cuba sedaya upaya untuk mengelak, namun keinginan bapanya yang terlalu tinggi
menyebabkan beliau tiada pilihan. Ketika menuju ke stesen kereta api yang akan
membawa ke Tanta, beliau melencung ke Kanisat Orin untuk mengelakkan
diri dari pelajaran. Namun, di sini beliau telah ditemukan dengan seorang
mahaguru yang berjaya mengubah haluan hidupnya. Beliau adalah datuk saudaranya
sendiri, al-Shaykh Darwish bin Khadr seorang alim yang telah menuntut ilmu
sehingga ke Libya, mahir dalam hafazan dan penafsiran al-Quran serta hafaz
kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik di samping beberapa kitab hadis
lain(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 4) dan (Ismail Jamil. 1947: 20-21).
Setelah 15 hari berguru, satu perubahan besar telah berlaku dalam
diri Muhammad ‘Abduh. Dari seorang yang amat benci kepada pelajaran kepada
seorang yang tidak jemu berusaha untuk mencapai tahap tertinggi dalam setiap
bidang yang dipelajari. Hidupnya yang selama ini dirasakan terlalu sempit
bertukar menjadi lapang, segala keinginan yang menjadi buruan lenyap satu
persatu sehingga tidak ada lagi perkara yang lebih penting darinya selain
menjadi seorang insan yang sempurna ilmu dan budi pekertinya. Guru ini jugalah
yang bertanggungjawab menyungkil dan mengasah segala bakat dan kebolehan yang
ada di dalam dirinya. Perguruannya dengan al-Shaykh Darwish berakhir pada tahun
1288H/1871, apabila mereka berjumpa buat kali terakhir pada musim cuti akhir
tahun. Al-Shaykh Darwish meninggal dunia pada tahun berikutnya setelah segala
ilmu dan harapan dicurahkan kepada Muhammad ‘Abduh (Farid Mat Zain & Ismail
Bakar 2007: 4) dan (Ismail Jamil. 1947: 20-21).
2.3 Latar Belakang Kerjaya.
Setelah berjaya memperolehi al-Shahadah al-‘Alimiyyah,
Muhammad ‘Abduh telah dilantik sebagai salah seorang tenaga pengajar di
al-Azhar. Beliau mengajar ilmu teologi dan mantik. Selain itu, beliau turut
mengadakan kuliah-kuliah di rumah dengan menjadikan akhlak dan politik sebagai
matapelajaran yang diajar. Pada tahun 1295H/1878, beliau dilantik sebagai guru
sejarah di Madrasah Dar al-‘Ulum (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 8).
Beliau juga dilantik sebagai guru Bahasa Arab d Madrasat al-Asin
al-Khudaywiyyah. Kedua-dua jawatan ini disandang serentak dengan jawatannya di
al-Azhar. Walau bagaimanapun, pada tahun 1296H iaitu pada bulan November 1879,
jawatannya sebagai guru di Dar al-‘Ulum dan Madrasah al-Alsin dilucutkan.
Beliau diperintah kembali ke Mahallat Nasr dan dilarang keluar ekoran dari
perubahan politik ketika itu yang menyaksikan gurunya, al-Afghaniyy diusir
keluar dari Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 8).
Pada tahun 1297H iaitu pada September 1880, Muhammad ‘Abduh
dilantik sebagai salah seorang pengarang akhbar rasmi kerajaan al-Waqa’i al-Misriyyah.
Perlantikan ini merupakan satu usaha kerajaan untuk mengalih perhatian
Muhammad ‘Abduh daripada meyebarkan pemikirannya kepada penyiaran berita rasmi kerajaan.
Di akhir tahun tersebut, beliau dilantik sebagai ketua pengarang bagi
meningkatkan lagi mutu dan fungsi akhbar tersebut. Beliau seterusnya merangka
satu rang undang-undang berkaitan percetakan dan penerbitan yang kemudiannya
diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan (Farid Mat Zain & Ismail Bakar
2007: 8).
Pada 28 Rabiul Akhir 1298H/31 Mac 1881, satu perintah rasmi bagi
menubuhkan sebuah majlis tertinggi di
Kementerian Pendidikan dikeluarkan hasil pendedahan yang dibuat Muahammad
‘Abduh melalui akhbar ini. Beliau turut dilantik sebagai salah seorang ahli
jawatankuasa khas di bawah majlis ini yang bertanggungjawab untuk memperbaiki
kaedah pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah. Pada 13 Safar 1300H/24
Disember 1882, Muhammad ‘Abduh dihukum buang negeri dari Mesir kerana terbabit
dalam “al-Thawrah al-‘Urabiyyah”. Beliau dan beberapa orang rakan yang
dihukum menuju ke Syria dan menetap di Beirut (Farid Mat Zain & Ismail
Bakar 2007: 9).
2.4 Gugurnya Seorang Pejuang.
Pada jam lima petang hari selasa 8 Jamadil Awal 1323H/11 Julai
1905, Muhammad ‘Abduh menghembuskan nafas terakhirnya di Iskandariah setelah
beberapa bulan diserang penyakit. Kerajaan Mesir telah mengadakan upacara rasmi
pengkebumian jenazah almarhum bermula dari Iskandariah tempat jenazahnya
diselenggarakan dan berakhir di Kaherah tempat jenazahnya disemadikan.
Jenazahnya telah dibawa dari Iskandariah ke Kaherah dengan sebuah kereta api
khas kerajaan Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 15).
Upacara itu telah disertai oleh seluruh rakyat termasuk pengunjung
yang sedang mengunjungi Kaherah termasuk pihak penjajah, sehinggakan kedua-dua
Bandar tersebut menjadi lengang kerana kebanyakan penghuninya tidak mahu
ketinggalan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada seorang tokoh yang
telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negaranya. Jenazah Muhammad
‘Abduh disembahyangkan di Masjid al-Azhar dan dikebumikan di Qarafat
al-Mujawirin. Semoga Allah merahmati dan menempatkannya bersama para solihin
(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 15).
3. PEMIKIRAN MUHAMMAD ABDUH
3.1 Penglibatan Muhammad Abduh dalam Politik
Pemikiran politik ialah pemikiran tentang
kuasa pemerintahan , tentang siapa yang memilikinya dan bagaimana
memperolehinya, tentang bagaimana mengurus dan melaksanakannya serta
batas-batasnya, tentang keadilan dalam hubungan terutama di antara yang
memerintah dan yang diperintah serta tentang perlunya negara dan peranannya (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153).
Sebelum
melibatkan diri dalam politik, beliau telah dilantik untuk mengajar di kuliah
Darul Ulum pada 1878 setelah beliau menamatkan pengajiannya. Di sana beliau
mengajar kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun dan melakukan beberapa analisis mengenai
kemajuan daan kemunduran sesuatu bangsa serta mengkaji teori-teori
kemasyarakatan yang ada dalam buku tersebut. Kemudian beliau mula campur tangan
dalam urusan pentadbiran negara (Zainudin Hashim dan Riduan Mohamad nor.
2009:143).
Apabila
politik dikaitkan dengan Muhammad Abduh iaitu tokoh pemikir dan reformis atau
tokoh yang membawa idea-idea islah terkemuka Islami dari Mesir pada akhir abad
ke 19M, ini memberi pandangan umum kepada masyarakat bahawa pemikiran beliau
sebagai pemikiran atau teori politik Islami. Penyebaran idea islah ini
adalah hasil daripada kesedarannya untuk memulihkan dan mengembalikan umat
Islam kepada kegemilangan. Melihat kepada cengkaman kuasa Barat, beliau cuba
membuat perubahan demi perubahan dalam membentuk pemikiran umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 109).
Pada awal
penglibatan gerakan islah, Muhammad Abduh telah memilih bidang politik
sebagai lapangan perjuangan di mana beliau telah melibatkan diri dalam satu
gerakan iaitu pemberontakkan Urabi bagi menentang Khedive Taufiq yang dikatakan membuat pakatan serta
memberi kerjasama kepada pihak British.
Dalam hal ini, beliau telah menyertai puak nasionalis yang dipimpin oleh Urabi
Pasya walaupun beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan secara
revolusi sepertimana yang disarankan oleh gurunya Sayyid Jamal al-Din
al-Afghani kerana beliau lebih cenderung memilih cara evolusi iaitu secara
berperingkat dalam perjuangannya (Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 110) dan (Ali Mufrodi. 1997:200).
Pada
peringkat ini, beliau merasa terpanggil untuk memberi tumpuan kepada
perkembangan politik Mesir apabila melihat kepada keadaan dan permasalahan di
Mesir terutamanya dari sudut nasionalisme atau semangat kebangsaan. Kelebihan
kuasa yang dimiliki oleh Barat menyebabkan rakyat Mesir tidak dapat
mempertahankan wilayah mereka daripada
kuasa penjajah Barat (Farid Mat Zain
& Ismail Bakar 2007: 110) dan (Mark Sedgwick. 2010:16).
3.1.1 Faktor Penglibatan Muhammad Abduh
dalam Politik
Muhammad
Abduh telah berperanan secara langsung dalam arena politik dan ekonomi pada
separuh kedua kurun ke 19 dan awal kurun ke 20. Dimana suasana politik dan
ekonomi meruncing disekitar Muhammad Abduh telah mendorong beliau untuk
melakukan usaha-usaha tajdid. Dua aspek inilah yang telah memberi impak besar
dalam menggerakkan Muhammad Abduh dalam refomasinya (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 199).
Pada tahun
1882 pihak British telah menakluk ke atas Mesir. Sarjana Inggeris telah
berpendapat bahawa antara faktor yang menyebabkan Mesir ditakhluki ialah faktor
strategi dan pertahanan. Bagaimanapun faktor ini tidak tepat kerana sebelum
tahun 1882, British telah pun pernah menduduki Mesir sebanyak dua kali dan
kedua-dua pendudukan ini jelas mencerminkan kepentingan politik dan ekonomi (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 202).
Pada
setengah kedua abad ke 19, Mesir telah mengalami keadaan ekonomi yang
menyulitkan. Khedevi Abbas 1 merupakan orang yang bertanggungjawab meletakkan
ekonomi Mesir dalam kepincangan sehingga akhirnya Khadevi Ismail (1863-1879)
terpaksa menjual saham dalam Terusan Suez kepada British. Kemudian sehingga
apabila Khadevi tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi , Kerajaan Mesir
tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut sehingga diisytiharkan bankrap pada
tahun 1875. Berikutan daripada itu, bermulanya campur tangan antarabangsa
secara langsung dalam urusan kewangan Mesir terutamanya pihak British (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 203).
Sejak tahun
1879 lagi telah muncul gerakan politik secara sulit di Mesir dan mereka terdiri
daripda tiga golongan iaitu tentera, pengarang akhbar-akhbar dan Ulama serta
Ahli-ahli majlis dan golongan bangsawan. Kemunculan Ahmad Urabi pada tahun 1881
sebagai individu yang berpengaruh dikalangan tentera dan rakyat tidak
menyenangkan British. Kemudian telah berlaku pemberontakkan Urabi menandakan
bermulanya kekacauan politik di Mesir bagi menunjukkan rasa tidak puas hati
rakyat Mesir terhadap sikap khedive Taufiq yang bersekongkol dengan pihak
British (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 203). Walaupun sebenarnya Muhammad Abduh tidak
bersetuju dengan bentuk perjuangan revolusi , namun dalam pemberontakkan Urabi
ini beliau telah menyebelahi pihak nasionalis sehingga menyebabkan beliau
diusir keluar dari Mesir( Mark Sedgwick. 2010:29) .
Beliau telah
menuju ke Beirut, kemudian ke Paris pada tahun 1884M lalu menemui semula
gurunya Jamal al-Din al- Afghani. Disana
beliau telah bekerjasama dengan gurunya untuk menerbitkan sebuah majalah yang
dikenali sebagai al-Urwah al-Wuthqa yang mengandungi idea-idea dan buah fikiran
mereka. Al-Afghani sebagai pengurus jurnal dan Muhammad Abduh sebagai editor. Bagaimanapun
, selama lapan bulan sahaja setelah pengeluarannya diharamkan oleh kerajaan
Paris. Seterusnya telah membawa Muhammad Abduh ke Beirut sekali lagi . Namun
pada kali ini beliau tidak lagi aktif dalam pergerakan politik sebaliknya
memulakan kehidupannya dengan aktiviti berbentuk ilmiah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 107-108) dan (Maskara- Nazzam. 1998: 98).
3.1.2 Muhammad Abduh dan Gerakan
Pan-Islamisme
Gerakan Pan-Islamisme merupakan satu
fenomena politik yang berlaku dalam dunia Islam pada pertengahan kurun ke-19
dan awal kurun ke-20. Ia muncul ketika pemikiran Muhammad Abduh telah bebas
dari belenggu pemikiran gurunya Jamal al-Din al-Afghani. Beliau berpendapat
Dawlah Uthmaniyyah merupakan simbol perpaduan politik umat Islam. Malah setiap
umat Islam wajib memelihara dan menggerakkan Dawlah Uthmaniyyah. Keterlibatan
dan komitmen mereka terhadap Dawlah dianggap sebahagian dari akidah umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 27).
Menurut
Muhammad Abduh, kebanyakan pemimpin Islam dan umat Islam ketika itu marah serta
benci terhadap tindakan Sultan Abdul Hamid II ketika beliau menerajui Dawlah Uthmaniyyah., malah
Muhammad Abduh juga turut terkesan dengan tindakan Sultan yang dianggap zalim
dan menindas. Walaupun begitu, Muhammad Abduh masih memujuk seluruh umat Islam
agar sentiasa memberi kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Dawlah
Uthmaniyyah. Menurut Muhammad Abduh,
Dawlah Uthmaniyyah satu-satunya perisai dan benteng bagi seluruh umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 28).
Selain itu,
Muhammad Abduh juga mengajak seluruh rakyat di bawah naungan Uthmaniyyah agar
berusaha mempelajari bahasa Turki selain bahasa Arab, malah ia wajib dipelajari
kerana digunakan oleh para cendekiawan dan ulama untuk menulis, membaca dan
menyebarkan ilmu pengetahuan serta merupakan bahasa rasmi Dawlah Uthmaniyyah.
Justeru mempelajari bahasa Turki merupakan satu keperluan bagi menjaga maslahat
mereka (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 28).
Tambahan
lagi, ketika berlakunya perang antara Uthmaniyyah dan bangsa Yunani, Muhammad
Abduh berusaha memberi semangat agar umat Islam terus menyokong Dawlah
tersebut. Beliau percaya bahawa memelihara keutuhan Dawlah Uthmaniyyah
merupakan antara rukun iman yang ketiga selepas keimanan kepada Allah dan
Rasulullah s.a.w kerana ia simbol keagungan dan kedaulatan agama Islam. Menjadi
kewajipan untuk patuh dan memberi sokongan kepada Dawlah tersebut (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 29).
Walaupun
begitu, sebenarnya terdapat perbezaan pendiriannya ketika beliau bebas dari
daerah pengasingan. Penentangannya terhadap Dawlah Uthmaniyyah jelas ketara
apabila beliau berada di Mesir. Antaranya beliau telah menceritakan tentang
kezaliman Sultan Abdul Hamid kepada sahabat dan muridnya. Tambahan lagi, ketika
Dawlah Uthmaniyyah mengarahkan angkatan tentera Turki ke Mesir untuk membantu
mempertahankan Mesir dari serangan Britain tetapi Muhammad Abduh menolak
bantuan yang dihulurkan oleh Sultan Abdul Hamid melalui sepucuk surat (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 29-30).
Menurut
Dr.Imarah, pendirian Muhammad Abduh menentang Turki dan Sultan Abdul Hamid
malah menyokong kependudukan Inggeris di Mesir merupakan salah satu
strateginya. Sebenarnya sokongan yang diberikan oleh Muhammad Abduh kepada
Dawlah Uthmaniyyah hanya taktik beliau semata-mata kerana inginkan pengampunan
serta diberi keizinan untuk kembali semula ke Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 31).
3.1.3 Pemikiran Politik Muhammad Abduh Dalam
Penulisan
Perbincangan
ini hanya melibatkan pemikiran tokoh terhadap politik sahaja. Maka, sudah tentu
pemikirannya bersifat subjektif dan dan sukar untuk dianggap sebagai
teori-teori politik Islami. Justeru, pemikiran Muhammad Abduh ini tidak lebih
daripada pemikiran sarjana-sarjana Muslim tentang politik yang terhasil dalam
sejarah (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153).
Ini kerana,
Muhammad Abduh sendiri tidak pernah menghasilkan sebuah risalah mengenai teori
politik. Malah dalam tulisan-tulisan yang dihasilkan pada peringkat awal hanya
ketika beliau masih aktif dalam gerakan politik seperti dalam al-Waqa’ al-Misriyyah
dan al-Urwah al-Wuthqa’. Tetapi sebahagian besarnya hanya melibatkan seruan ke
arah reformasi akhlak dan budaya atau tentang polisi kuasa-kuasa Barat dalam
dunia Islam (Farid Mat Zain & Ismail Bakar
2007: 153).
Tulisan-tulisan
yang dihasilkan beliau selepas meninggalkan kegiatan politik boleh dikatakan
hanya terbatas kepada isu-isu reformasi kemasyarakatan, pendidikan dan
perundangan Islam semata-mata. Oleh itu, sangat sukar untuk membentangkan
pemikiran politik beliau kerana tidak banyak tulisan mengenai politik yang
dibentangkan secara berstruktur, sistematik dan terperinci. Ini kerana, aspek
pemikiran politik beliau hanya terbatas berdasarkan pada makalah-makalah yang
tersiar dalam al-Urwah al-Wuthqa’(Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 153) .
Sebelum
Muhammad Abduh melibatkan diri dalam persatuan atau gerakan al-Urwah al-Wuthqa’
yang juga telah menerbitkan majalah yang menggunakan nama yang sama iaitu
al-Urwah al-Wuthqa’. Beliau telah pun terlibat secara serius dalam bidang
penulisan apabila dilantik sebagai ketua Pengarang warta rasmi Kerajaan iaitu
al-Waqa’I al-Misriyyah pada tahun 1880M. Ia merupakan suratkhabar kerajaan yang
mengandungi berita dan ulasan-ulasan yang berkaitan dengan persoalan dan
permasalahan sosial, politik, hukum, agama dan juga pendidikan. Menerusi surat khabar
inilah Muhammad Abduh menyuarakan pandangannya mengenai perlunya pembebasan dan
kebebasan masyarakat Islam amnya dan masyarakat Mesir khasnya daripada belenggu
penjajahan Barat. Beliau menggunakan al-Quran sebagai senjata untuk menyuarakan
penentangan beliau terhadap campur tangan Inggeris dan Perancis di Mesir. Namun
selepas itu, beliau telah dibuang negeri kerana terlibat dalam pemberontakkan
Urabi (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 118-119).
3.1.4 Sistem Pemerintahan
Mengenai politik dan pemerintahan melalui
penulisan Muhammad Abduh, beliau melihat setiap masyarakat secara tabii dan
logik memerlukan suatu pemerintahan . Menurutnya pada mulanya manusia membina
masyarakat secara tidak sengaja apabila mereka ditimpa malapetaka yang memaksa
mereka bersatu.Akan tetapi,setelah masyarakat mula teratur dan orang merasa
aman, mereka secara semulajadi kembali semula berebut dan bermusuhan antara
satu sama lain, kerana walaupun mereka hidup setempat, matlamat mereka berbeza.
Masing-masing tidak bersedia menyerah kepada orang lain. Sehinggalah muncul
seorang yang mendapat sokongan terkuat di kalangan mereka menguasai masyarakat (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 155).
Ketika
itu, setiap individu masih sibuk dengan urusan masing-masing dan tidak memberi
perhatian kepada kebajikan ramai. Akan tetapi, setelah melalui peristiwa yang
serupa berulang kali, mereka akhirnya menyedari kepentingan ramai. Daripada
kesedaran ini, munculnya pandangan umum (al-ra’y al-Amm) yang menentukan sistem
pemerintahan. Ini diperolehi hasil daripada perundingan (syura) di antara
pihak-pihak yang mewakili pelbagai kepentingan. Dalam sistem ini , pandangan
umum hasil perundingan memainkan peranan penting mengawal pemerintah. Dengan
itu, akan lahir pemerintahan yang adil dan saksama. Ia juga bergantung kepada
tahap kematangan masyarakat yang memerlukan waktu, pengalaman dan usaha bagi
melahirkan pemikiran yang betul (Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 156).
Tambahan
lagi, semua ini memerlukan kepada kesepaduan semangat dan kesatuan pandangan
dalam masyarakat. Ini kerana, kerjasama antara anggota masyarakat sangat
penting dalam segala hal. Sekalipun otaknya bergeliga , dia tetap perlu kepada
perundingan dan pandangan daripada pelbagai kalangan. Hasil daripada ini juga,
boleh mencambahkan kekuatan dan kekuasaan dalam pemerintahan. Bertindak dengan
semangat kesepaduan dan rasa kesatuan ini diistilahkan oleh Muhammad Abduh
sebagai al-taassub dan semangat serta rasa itu sendiri sebagai al-Asabiyyah
(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007:157).
Terdapat dua
sumber bagi al-Asabiyyah ialah ikatan darah keturunan yang merupakan
asas dan ikatan aqidah atau anutan kepercayaan. Selama kedua-dua asabiyyah
dan taasub ini bersifat sederhana, maka pemerintahan dan masyarakat akan
berjalan dengan baik dan sempurna. Akan tetapi, sekiranya semangat tersebut
lemah dan rendah, maka pemerintahan dan masyarakat akan runtuh dan masyarakat
akan musnah. Muhammad Abduh menambah, kesepaduan yang berasaskan ikatan aqidah
atau kepercayaan akan lebih mantap sifatnya, lebih suci dan berfaedah. Ini
kerana,semangat kesepaduan berasaskan agama Islam dan ajarannya membawa kecemerlangan
ketamadunan Islam suatu ketika dahulu (Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 157).
Namun
begitu, Muhammad Abduh tidak menamakan kemuncak sistem pemerintahan yang
dibayangkannya sebagai sistem khilafah. Di dalam tulisan-tulisannya tidak
pernah disebut secara langsung menyeru menghidupkan semula sistem khilafah.
Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa sistem pemerintahan yang terbaik
ialah berdasarkan undang-undang Islam serta pelaksanaannya dan persetujuan
ramai. Ini kerana, sistem pemerintahan Islam ditentukan melalui satu doktrin
Islam yang khusus, serta diputuskan melalui perundingan di kalangan masyarakat
Islam dari semasa ke semasa mengikut keadaan (Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 157).
Oleh itu,
sistem pemerintahan Islam bukanlah sistem teokrasi. Eropah menyatakan bahawa
pemerintah menerima secara langsung daripada tuhan dan bersifat agama dan undang-undang. Ia
tidak boleh ditentang kerana ketaatan kepadanya. Ini berlainan dari sudut
pandangan Islam bahawa sebagai pemerintah sivil (awam) atau hakim madani (civil
ruler) yang perlantikannya ditentukan oleh orang ramai atau wakilnya yang
bertindak mengawasi pemerintah dan berkuasa melucutkan jawatannya apabila
dirasakan perlu (Farid Mat Zain
& Ismail Bakar 2007: 158).
Beliau
menjelaskan bahawa pemerintah ada batasannya. Sunggupun mesti ditaati,
pemerintah tidak lebih daripada manusia biasa yang tidak terlepas daripada
melakukan kesilapan dan dipengaruhi oleh perasaan. Oleh itu, hanya perundingan
dan sistem syura dapat mengawal pemerintah daripada melakukan kesilapan atau
dipengaruhi oleh perasaan(Farid Mat Zain
& Ismail Bakar 2007: 159).
3.1.5 Kelayakan Pemerintah
Sungguhpun Muhammad Abduh tidak
membicarakan secara sistematik soal sistem pemerintahan dalam Islam, beliau
telah mengemukakan secara tidak langsung dalam tulisan-tulisannya beberapa
syarat yang perlu ada pada seorang calon pemerintah dalam sistem tersebut.
Sebahagian daripada syarat-syarat tersebut tidak terkeluar daripada
syarat-syarat yang disenaraikan oelh sarjana-sarjana klasik(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 159).
Di antara syarat-syarat
lain yang penting dan utama disebutkan oleh beliau ialah Perdana Menteri
mestilah seorang Muslim dan memiliki keupayaan untuk melaksanakan undang-undang
Islam. Dalam masa yang sama, menolak sama sekali seorang calon itu mestilah
berketurunan Quraysh. Menurutnya kekuasaan pemerintah bukan berdasarkan warisan
atau keturunan bangsa, puak atau suku tertentu. Ini kerana ia boleh menjadi
punca perpecahan ummat Islam kerana memperjuangkan semangat asabiyyah(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 161).
3.1.6 Perlucutan Jawatan
Antara lain yang disentuh oleh Muhammad
Abduh secara sepintas lalu ialah perlucutan jawatan pemerintah. Menurut beliau,
pemerintah yang bersifat autokrat dan membawa keburukan dan kemusnahan kepada
rakyat dan negara , maka hendaklah dilucutkan jawatannya. Muhammad Abduh dengan
tegas menyatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab melantik dan memilih
pemerintah mestilah bertanggungjawab juga untuk melucutkan jawatan pemerintah
tersebut demi kepentingan ummat dan masyarakat (Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 161).
Beliau juga
membenarkan penggunaan kekerasan sekiranya perlu, dalam menjatuhkan pemerintah
daripada kedudukannya. Beliau juga berpendapat bahawa pemerintah boleh dicegah
dan dihalang daripada kesilapan dan hawa nafsunya melalui perundingan yang
diberi oleh masyarakat sama ada dengan kata-kata teguran atau tindakan.
Pandangan seperti inilah besar kemungkinan yang mempengaruhi beliau terlibat
dalam pemberontakan Urabi (Farid Mat Zain
& Ismail Bakar 2007: 162).
Justeru,
dapatlah difahami disini bahawa, penglibatan Muhammad Abduh dalam bidang
politik adalah kerana keadaan atau suasana menggerakkan beliau untuk turut
terlibat dalam bidang politik untuk memberi petunjuk dan jalan bagi membolehkan
pemerintahan Islam ketika itu dapat melaksanakan pemerintahan Islam secara
keseluruhan.
3.2 Penglibatan Muhammad Abduh dalam Pendidikan
Idea-idea pembaharuan merupakan gagasan yang menyentuh pelbagai
aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi dan politik. Golongan pemikir
Islam pada abad ke 20 M turut memainkan peranan dalam menyumbangkan pemikiran
dan usaha ke arah pembaharuan. Usaha-usaha pembaharuan yang dijalankan oleh
tokoh-tokoh reformis Islam bersifat global kerana jaringan intelektual yang
terbuka luas pada waktu itu menyeret idea pembaharuan melepasi sempadan dunia
Islam di Timur Tengah(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
Idea pembaharuan yang dicetuskan oleh Muhammad Abduh di Mesir telah
memberi kesan yang mendalam ke atas pemikir-pemikir Islam di rantau nusantara
dan di Tanah Melayu secara khusus. Permasalahan umat Islam yang berada dalam
kemunduran dan perpecahan ditangani melalui pembaharuan pendidikan Islam(Farid
Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
Menurut Muhammad Abduh, tujuan pendidikan adalah untuk mendidik
akal, minda dan jiwa manusia ke arah yang lebih baik. Pendidikan Islam juga
bermatlamat mendidik mereka menjadi manusia yang mampu mencapai kebahagiaan
yang sepenuhnya di dunia dan akhirat. Pendidikan akal dan minda ialah proses
membawa akal keluar daripada kesederhanaan dan kekosongan ilmu, serta konsep
dan idea yang salah kepada maklumat dan konsep yang benar(Farid Mat Zain &
Ismail Bakar 2007: 89).
Manakala pendidikan jiwa ialah usaha yang membentuk sifat dan
kelakuan yang baik dalam jiwa dengan melatih jiwa tersebut supaya terbiasa
dengan sifat-sifat tersebut. Ia menolak kecenderungan jiwa kepada sifat-sifat
yang buruk. Keadaan ini membolehkan seseorang individu itu menjalani pembesaran
yang selamat dan sempurna. Secara ringkas, pendidikan Islam menurut Muhammad
Abduh member perhatian kepada dua matlamat, iaitu pembentukan minda dan
pemurniaan jiwa. Kedua-dua aspek akal dan jiwa dianggap sebagai tiang
pendidikan manusia kerana ia membentuk kehidupan yang seimbang dan harmoni dari
segi material dan spiritual (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 89).
3.2.1 Reformasi Pendidikan
Abduh sedar tentang bahaya dualisme dalam sistem pendidikan.
Reformasi pendidikan beliau terarah kepada usaha-usaha menghapuskan dualisme
dalam sistem pendidikan di Mesir, iaitu sistem pendidikan tradisional dan
sistem pendidikan moden, melalui usaha-usaha penyatuan kedua-dua sistem
pendidikan tersebut. Abduh berusaha melakukan sintesis berasaskan prinsip
bahawa agama adalah keperluan yang mutlak dalam kehidupan manusia, demikian
juga keperluan untuk mengambil dan menimba segala faedah dan manfaat yang boleh
didapati melalui penguasaan sains moden (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 223).
Umat Islam perlu menguasai ilmu pengetahuan moden supaya Islam
boleh disesuaikan dengan perkembangan pengetahuan semasa, dan begitu juga
sebaliknya, supaya ilmu-ilmu pengetahuan moden dapat diselarikan dengan Islam.
Institusi-institusi pendidikan moden perlu didirikan dengan memberikan
penekanan yang seiring di antara ilmu-ilmu pengetahuan semasa dan ilmu-ilmu
agama (Farid Mat Zain & Ismail Bakar
2007: 223) dan Muhammad Syafii Antonio et al. 2012; 98).
Demikian juga, ilmu-ilmu pengetahuan semasa perlu diserapkan ke
dalam kurikulum al-Azhar, supaya ulama’ lebih memahami dan mengerti ilmu dan
kebudayaan moden bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap persoalan-persoalan
semasa. Langkah-langkah integrasi ini bukan hanya akan memperkuatkan pendidikan
agama di sekolah-sekolah kerajaan, malahan akan merapatkan jurang pemisah di
antara golongan ulama’, profesional, teknokrat serta saintis. (Farid Mat Zain
& Ismail Bakar 2007: 223)
3.2.2 Penglibatan Muhammad Abduh dalam Pendidikan
Sumbangan terbesar Muhammad Abduh dalam gerakan islah ialah dalam
bidang pendidikan. Melalui pendidikan, beliau cuba merubah dan membentuk
pemikiran rakyat Mesir supaya lebih terbuka dan akhirnya mampu menyaingi kuasa
Barat yang menguasai pemikiran rakyat Mesir. Dalam usahanya ke arah itu,
Muhammad Abduh telah membuat pembaharuan terhadap system pendidikan di Mesir
terutamanya di al-Azhar. Terdapat tiga aspek yang ditekankan oleh beliau iaitu:
1)
Kepentingan
ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan sangat penting dalam sesuatu aktiviti seperti
berdakwah. Dalam menjalankan tugas dakwah, akal memainkan peranan yang sangat
penting dalam menuntut ilmu pengetahuan. Kepentingan menuntut ilmu dan
berpengetahuan berada di kedudukan yang sangat tinggi.
Selain itu, beliau juga menolak
amalan taklid tanpa mengetahui asal dan keadaan yang sebenar. Manusia yang
inginkan kebahagiaan dunia dan akhirat perlu mempunyai ilmu pengetahuan, usaha
dan juga amal. Bagi beliau, dengan adanya ilmu yang mantap, seseorang manusia
itu tidak akan sesat dan menyimpang dari landasannya dan masalah bertaklid juga
tidak akan berlaku di kalangan umat Islam (Farid Mat Zain & Ismail
Bakar 2007: 114).
2)
Metod
Pengajian
Beliau melihat metode pengajian sangat penting untuk memperolehi
sesuatu ilmu yang sempurna dan ia dapat difahami dengan jelas serta tidak akan
menimbulkan kekeliruan. Ilmu yang sempurna akan diperolehi melalui pembelajaran
yang sempurna. Beliau telah menjadikan metod pembelajaran negara Barat sebagai
panduan dan asas kepada pembaharuan dan perubahan yang cuba dibuat.
Pada tahun 1881 M, beliau telah
menerbitkan sebuah buku hasil karangannya. Buku tersebut dihasilkan kepada
beberapa bahagiaan tertentu dan setiap daripadanya pula mempunyai penjelasan
yang panjang lebar. Ini adalah bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Mesir
dengan harapan idea-idea islah yang dilaungkannya akan diterima oleh masyarakat
Mesir (Farid Mat Zain & Ismail Bakar
2007: 114). Antara bahagian-bahagian buku tersebut ialah :
i)
Kitab Naqliyyah Diniyyah
Membincangkan
masalah agama seperti ilmu kalam dan cabangnya iaitu iabdah dan muamalat.
ii)
Kitab Aqliyyah Hukmiyyah
Membincangkan
hakikat kewujudan suasana keperibadian manusia.
iii)
Kutub Adabiyyah
Membincangkan
tentang idea-idea yang bernas termasuklah tentang pendidikan akhlak secara lebih
khusus.
iv)
Kutub al-Akhadib
Perbincangan
mengenai kisah-kisah yang sebenarnya tidak pernah berlaku atau cerita-cerita
palsu yang sengaja direka.
v)
Kutub al-Khurafat
Membincangkan
mengenai benda-benda khurafat.
3)
Pendidikan
melalui Pembelajaran
Idea ini tercetus semasa Muhammad Abduh berada di Beirut.
Sekembalinya beliau di Mesir pada 1889M, beliau memperkenalkan kaedah ini
kepada masyarakat Mesir. Menurutnya, masyarakat Mesir pada masa itu memang
memerlukan bimbingan dalam hal-hal keagamaan dengan sempurna. Beliau juga
berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang ingin melakukan islah tanpa jalan agama,
sesungguhnya dia telah menabur benih-benih kehaancuran, ia tidak akan tumbuh
bahkan akan rosak serta tidak mendapat apa-apa hasil (Farid Mat Zain &
Ismail Bakar 2007: 114).
3.2.3 Pendidikan Agama
Abduh membahagikan pendidikan agama kepada tiga peringkat utama,
iaitu:
1)
Pendidikan
Agama Rendah
Pendidikan agama pada peringkat ini adalah untuk masyarakat umum
yang memenuhi tenaga kerja di sektor-sektor industri, perniagaan dan pertanian.
Asas-asas pendidikan agama yang diajarkan pada peringkat ini tidak memerlukan
kepada keupayaan intelektual yang tinggi. Antara kursus utama pada peringkat
ini ialah akidah Islam, akhlak Islam dan sejarah Islam.
2)
Pendidikan
Agama Menengah
Pendidikan pada peringkat ini dikhusus kepada pegawai-pegawai kerajaan
atau golongan profesional. Pada peringkat ini Abduh menyenaraikan empat kursus
utama:
i.
Pengenalan
kepada asas-asas ilmu yang mencakupi logik, asas-asas penalaran dan adab
perdebatan.
ii.
Akidah
Islam.
iii.
Fiqh
dan Akhlak.
iv.
Sejarah
Islam
3)
Pendidikan
Agama Tinggi
Pendidikan pada peringkat ini dikhususkan kepada golongan pendidik
di kalangan intelektual yang disebut sebagai golongan ‘urafa ‘al-ummah.
Golongan ini memerlukan pendidikan agama yang mendalam yang mencakupi
kursus-kursus berikut:
i)
Metodologi
tafsir al-Quran
ii)
Bahasa
Arab
iii)
Hadis
iv)
Akhlak
v)
Usul
al-Fiqh
vi)
Sejarah
Nabi
vii)
Retorik
dan asas-asa perdebatan
viii)
Ilmu
Kalam
Pada peringkat ini, pelajar-pelajar harus diselia secara khusus
oleh seorang ilmuwan. Para pelajar perlu lulus dalam peperiksaan dan mendapat
perakuan daripada penyelia tahap kesempurnaan keilmuan dan amalannya sebelum
mendapat kelulusan. (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007:226) dan (Ismail Jamil. 1947: 151).
3.2.4 Penglibatan Muhammad
Abduh dalam Bidang Bahasa dan Kesasteraan Arab
Muhammad Abduh juga banyak memberikan sumbangan dalam bidang
sastera dan kesusasteraan Arab. Antaranya beliau pernah menyunting beberapa
buah karya klasik dalam bidang berkenaan. Beliau pernah menyunting buku tentang
ilmu Balaghah karya Abd al-Qahir al-Jurjani bertajuk “Asrar al-Balaghah”. Dalam
bidang kesusasteraan Arab pula, beliau menyunting Maqamat dan tulisan Badi’
al-Zaman al-Hamadhani(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Muhammad Abduh merupakan orang pertama bertanggungjawab menyunting
dan mengedit Maqamah ciptaan Badi al-Zaman al-Hamadhani. Selepas itu, beberapa
lagi ilmuan Arab yang juga turut sama menyunting kembali. Sebagai contoh,
Muhammad Muhyi al-din Abd al-hamid juga turut memberikan sumbangannya dengan
suntingan beliau berjudul “Sharh Maqamah Badi al-Zaman al-Hamadhani” dan telah
dicetak di Cairo pada 1962(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Pada tahun 1983, Ali Fa’ur sekali lagi menerbitkan semula maqamah
Badi al-Zaman al-Hamadhani. Suntingan terakhir yang ditemui ialah hasil usaha
Ali Abu Milham yang dicetak pada tahun 1993. Walau bagaimanapun, suka
dimaklumkan bahawa suntingan Muhammad Abduh dijadikan sebagai asas dan panduan
kepada suntingan selepasnya. Merujuk kembali kepada suntingan Muhammad Abduh
didapati penyunting memang telah melakukan kerja-kerja penyuntingan dan
pengeditan dengan sebaik mungkin. Oleh kerana, sebahagian besar
perkataan-perkataan yang digunakan dalam Maqamah adalah perkataan-perkataan
Arab yang sukar untuk difahami samada oleh penuturnya sendiri, apatah lagi
kepada mereka yang baru saja mendalami bahasa ini(Farid Mat Zain & Ismail
Bakar 2007: 55).
Oleh itu, tugas utama yang dilakukan oleh Muhammad Abduh ialah
menerangkan dan menjelaskan maksud perkataan-perkataan tersebut. Ini boleh
dilihat dengan jelas dalam setiap halaman buku ini. Di samping itu, Muhammad
Abduh juga turut menerangkan fungsi dan tatabahasa kepada sebahagian besar
perkataan dalam teks Maqamah(Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55).
Sebelum melakukakan proses penyuntingan Muhammad Abduh menulis dua
halaman sebagai prakata. Antara kandungan prakatanya ialah beliau
memperkenalkan ketokohan Badi al-Zaman al-hamadhani dan karyanya. Muhammad
Abduh juga menjelaskan bahawa pembaca menghadapi kesukaran untuk memahami makna
perkataan-perkataan yang terisi dalam Maqamah. Justeru, beliau berusaha untuk
memberikan penjelasan kepada setiap perkataan yang sukar difahami. Di samping
itu, beliau juga menjelaskan bahawa beliau menghadapi kesukaran dalam
menentukan kesahihan teks Maqamah. Walaupun begitu, beliau dapat mengatasi
masalah itu dengan berbantukan beberapa naskhah manuskrip Maqamah yang beliau
temui. (Farid Mat Zain & Ismail Bakar 2007: 55)
3.2.5 Pendidikan Sains Moden
Muhammad Abduh bukanlah seorang saintis atau setara dengan
tokoh-tokoh ilmuawan Islam terdahulu yang mendalami sains semasa pada zaman
mereka, namun beliau adalah seorang tokoh reformis yang sangat berpengaruh
dalam usaha belaiu memartabatkan sains. Abduh tidak merangka suatu
kurikulumyang sistematik dalam pengajian sains kerana kursus-kursus seperti
matematik dan sains tabii adalah tertakluk kepada sukatan yang telah ditetapkan
oleh kerajaan melalui kementeriannya. Walau bagaimanapun dengan kegigihan
beliau, subjek-subjek seperti geometri, geografi, arismatik dan algebra telah
berjya diperkenalkan dalam kurikulum al-Azhar lima tahun sebelum kematiannya (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:226).
Dalam
suasana masyarakat yang sangat konservatif, beliau merasa perlu dinyatakan
secara tegas tentang keharmonian yang terjalin di antara akal dan wahyu yang
bertujuan untuk mengangkat martabat sains moden sebagai satu cabang ilmu yang
tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan seterusnya sebagai sandaran kepada
usaha-usaha beliau untuk mengintegrasikan sains dalam kurikulum al-Azhar (Farid
Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:227).
Menurut
Muhammad Abduh, akal dan wahyu adalah sumber bagi ilmu pengetahuan. Al-Quran
menggesa manusia menggunakan akal bagi merenung dan meneliti fenomena alam ini
untuk sampai kepada rahsia-rahsia yang tersembunyi disebaliknya (Ali Mufrodi.
1997:161). Dalam keghairahan beliau untuk menegaskan bahawa Islam tidak
bertentangan dengan sains moden, beliau ternyata terlalu apologetik. (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
Tambahan
lagi, beliau menekankan tentang perlunya sintesis terhadap sains Barat dan
mengkritik golongan yang menjadi pendokong proses pembaratan. Idea-idea barat
perlulah ditapis , disaring dan sterusnya diketengahkan di kalangan masyarakat
tanpa meminggir dan menghapuskan asas-asas keagamaan kerana analisis yang
kristis terhadap idea-idea ini akan menyebabkan berlakunya pemindahan nilai dan
budaya tanpa bersandarkan kepada asas-asas yang kukuh(Farid Mat Zain dan Ismail
Bakar. 2007:288). Oleh itu, perlulah menolak sikap terus mengikut secara
membabi buta( al-taqlid al-a’ma) dan berterusan mengambil sains moden
tanpa melihat terlebih dahulu kepada asas-asasnya. Maka berlakulah keruntuhan
akhlak dan dan budaya kerana berlaku pengalihan pemikiran mengikut barat.
Oleh itu, jelas bahawa pembawakan reformasi
pendidikan oleh Muhammad Abduh ini sebenarnya telah memberi banyak sumbangan
kepada dunia pendidikan Islam. Rasa tangungjawab beliau terhadap masyarakat
ketika itu membuatkan beliau terpanggil bahawa reformasi pendidikan merupakan
cara yang paling terbaik selepas beliau terlibat dalam bidang politik pada
mulanya.
4. ANALISA PEMIKIRAN MUHAMMAD ABDUH
4.1 Pemikiran Politik Muhammad Abduh
Muhammad Abduh bukanlah seorang ahli teori
pemikiran politik dalam Islam. Beliau tidak pernah menghasilkan sebuah tritis
yang membincang sistem pemerintahan dalam Islam secara sistematik. Namun, oleh
kerana Islam tidak dapat dipisahkan dengan politik dan Muhammad Abduh sendiri
yang dipandang sebagai mewakili inteligensia Islam pernah terlibat dalam
kegiatan politik secara aktif, maka tulisan-tulisannya pasti tidak dapat
dielakkan daripada mengandungi unsur-unsur politik dan pemikiran mengenai
pemerintahan (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:162).
Adalah
jelas bahawa Muhammad Abduh agak terpengaruh dengan Ibn Khaldun dalam
menanggapi pertumbuhan institusi politik dalam masyarakat, yang melihat
pertumbuhan ini sebagai sesuatu yang tabii hasil pengalaman masyarakat.
Sungguhpun begitu, satu sistem pemerintahan yang berlandaskan Islam tidak dapat
lahir melalui pengalaman semata-mata, sistem ini hanya datang melalui wahyu (Farid
Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:163).
Akan tetapi,
pada pandangan Muhammad Abduh, apakah sistem itu dipanggil khilafah atau
lainnya bukanlah sesuatu yang pokok. Yang penting bagi beliau ialah bagaimana
pemerintah mendapat kekuasaan , beroperasi dan apakah dasar pemerintahannya.
Beliau menolak sama sekali pemerintahan yang berdasarkan keturunan atau
warisan. Baginya, pemerintah mestilah mendapat persetujuan ummat secara jujur ,
bukan dengan paksaan atau penipuan (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:163).
Tambahan
lagi, pemerintah hendaklah dipilih berdasarkan keutamaan keislamannya dan
dikendalikan melalui perundingan di antara pemerintah dan wakil-wakil
masyarakat dalam bentuk dewan perwakilana, bukan mengikut nafsu individu atau
bersifat autokrat.Tugas utama pemerintah ialah melihat terlaksananya ajaran
Islam dalam segenap aspek, termasuklah perundangan.Inilah bagi beliau raison
d’etre sebuah pemerintahan Islam. Bagi beliau pemerintahan Islam bukanlah
teokrasi yang difahami barat (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:163).
Kesimpulan Pemikiran Politik Muhammad Abduh
boleh dikategorikan kepada lima perkara iaitu:
1. Kebekuan dan kesempitan wawasan terhadap agama dan kepercayaan akan
membawa kepada pemerintahan yang zalim dan juga penyalahgunaan kuasa dalam
kerajaan.
2. Wawasan yang rasional akan menjadikan rakyat tertarik dengannya dan
menjadikannya sebagai panduan. Ia juga menjanjikan hubungan antara rakyat dan
kekuasaan bergantung kepada apa yang dikehendaki oleh rakyat dan pemerintahan
pula akan muncul daripada kesatuan.
3. Islam bukan sekadar mengakui kekuasaan agama. Semua umat Islam faham
bahawa Islam berasaskan al-Quran dan Hadith. Beliau menafikan bahawa Islam
memaksa semua orang untuk menerima Islam. Beliau menyatakan Islam adalah dakwah
dan mengakui bahawa Islam adalah sebagai petunjuk dan nasihat.
4. Kekuatan agama Islam ialah ummah atau masyarakat. Pemerintah mesti
mengambil berat soal kebajikan rakyat dan prihatin terhadap perubahan yang
berlaku.
5. Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan agama, ini tidak
bermakna Islam terpisah daripada kuasa undang-undang. Sebagai seorang pemikir
Islam moden, beliau melihat Islam sebagai agama dan syariah sebagai
undang-undang dalam kehidupan.
Justeru,
Muhammad Abduh telah membahagikan asas politik Islam kepada tiga kepentingan
iaitu kebebasan, syura(rundingan) dan syariah(undang-undang). Sistem syura
adalah petunjuk asas kepada kebebasan politik yang mana kerajaan harus
memerintah rakyat berdasarkan kepada petunjuk. Sementara ulama pula , bukanlah
hanya untuk berkongsi idea dalam syura sahaja tetapi mempunyai tugas yang
penting sebagai pengawal dan pengkritik. Bagi beliau, tidak ada undang-undang
tanpa kebebasan dan kebebasan
berpendapat adalah perkara yang sangat penting dalam menyelesaikan masalah(Farid
Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:110-111).
4.2 Reformasi Pendidikan
Pendidikan merupakan instrumen yang
terpenting dalam gerakan pembaharuan Muhammad Abduh bagi mengatasi kemunduran
dan kelesuan pemikiran umat Islam. Beliau sangat menitik beratkan terhadap
sistem pendidikan tradisional dan juga sistem pendidikan moden. Beliau sedar
tentang bahaya dualisme dalam sistem pendidikan dengan mengatur langkah-langkah
bagi penyatuan kedua-dua sistem pendidikan tersebut (an intergrated system
of education) bagi membentuk akal
dan jiwa manusia yang sempurna untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di
akhirat(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
Beliau
berusaha melakukan sintesis berasaskan prinsip bahawa agama adalah keperluan
yang mutlak dalam kehidupan manusia, tanpa menafikan keperluan untuk mengambil
segala faedah dan manfaat melalui penguasaan sains moden. Dalam suasana
zamannya yang serba mencabar, Abduh ternyata seorang refomis yang mampu
menyatakan dan menyakinkan secara yang berkesan bahawa Islam adalah sebuah
agama yang sentiasa sesuai kepada golongan yang berpendidikan moden, di samping
mendapat tempat di kalangan yang berfikiran tradisional. Beliau bukanlah
seorang saintis tetapi merupakan seorang tokoh reformis yang sangat berpengaruh
dalam usaha memartabatkan sains(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:229).
Bahkan
, atas kegigihan beliau itulah subjek-subjek seperti geometri, arismatik dan
algebra telah diintegrasikan dalam kurikulum al-Azhar. Walau bagaimanapun,
dalam keghairahan beliau untuk menegaskan bahawa Islam tidak bertentangan
dengan sains moden, Abduh membuka seluas-luasnya ruang kepada penghuraian yang
bersifat rasional, bahkan ternyata sangat apologetik (Farid Mat Zain dan Ismail
Bakar. 2007:229).
Di
samping itu, beliau juga mampu menguasai pelbagai ilmu Islam iaitu bahasa dan
kesusasteraan Arab. Ini terbukti dengan kemampuan beliau dalam penyuntingan
Maqamah karya Badi’ al-Zaman al-Hamadhani. Melalui edisi penyutingan beliau dan
juga terjemahan W.Prendergast, peminat dan pengkaji sejarah kesusteraan Arab
dapat membaca dan menghayati genre Maqamah dengan lebih jelas dan lebih
bermanfaat(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:62-63).
4.3 Prinsip Pemikiran Pembaharuan Muhammad Abduh
Maka , dapatlah disimpulkan disini, bahawa
prinsip pemikiran pembaharuan Muhammad Abduh yang diusahakan dan
diperjuangkan adalah demi membuat atau
menonjolkan penyesuaian antara Islam dan
kemajuan moden yang mana boleh diperincikan kepada tiga aspek berikut :pertamanya
agama bukanlah penghalang kepada perubahan dan kemajuan kebendaan(Farid Mat
Zain dan Ismail Bakar. 2007:48).
Keduanya
beliau keluar daripada tradisi berfikir yang rigid dan jumud atau tertutup yang
mengambarkan Islam sebagai ideologi yang beku dan tidak berpijak di bumi nyata.
Justeru itu agama tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan ilmu pengetahuan
, lebih-lebih lagi ilmu moden, sains teknologi dan teknikal(Farid Mat Zain dan
Ismail Bakar. 2007:48).
Ketiganya, Muhammad
Abduh berusaha menghubungkan Islam dengan masalah semasa atau kotemporari yang
merupakan sebahagian daripada perubahan budaya masyarakat Mesir pada akhir abad
ke 19. Dari inilah usaha dan upaya reformasi yang mahu dilakukan dalam sistem
pendidikan Mesir dan al-Azhar secara khususnya(Farid Mat Zain dan Ismail Bakar.
2007:48).
Maka dapatlah difahami di sini bahawa,
penukaran idea beliau daripada bidang politik ke bidang pendidikan merupakan
tindakan yang paling memberi kesan kepada masyarakat seluruh dunia Islam.
Penelitian beliau terhadap perjuangan gurunya al-Afghani dengan dunia politik
yang tidak memberi kesudahan itu, telah membawa Muhammad Abduh menukar cara
atau islahnya bagi masyarakat ketika itu dengan pembaharuan pendidikan. Ini
kerana, berdasarkan penilitian kami bahawa, pendidikan yang digunakan secara
beransur-ansur ini akhirnya berkesan kepadan tindakan masyarakat Islam ketika
itu dan sekali gus memberi sumbangan tajdid atau pembaharuan yang dibawa oleh
beliau kepada dunia ilmuan Islam dan telah
membawa seribu satu erti kepada ummat Islam.
Justeru,
tidak dapat dinafikan lagi bahawa, apa yang diperjuangkan oleh beliau dalam reformasi
pendidikan ini mampu mengubah dunia Islam kepada arus pemodenan dan lebih cemerlang
selari dengan syariat Allah.
5.PENUTUP
Perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan
oleh Muhammad Abduh selaku tokoh Islah atau reformasi telah meninggalkan
kesan yang besar ke arah kebangkitan dan kesedaran umat Islam. Beliau merupakan
sorang tokoh islah yang berjaya dalam programnya walaupun menghadapi
pelbagai masalah dan rintangan. Gagasan idea yang dibawa dan diserapkan dalam
pemikiran dan kehidupan umat Islam banyak mempengaruhi pemikiran dan
intelektual umat Islam kini (Farid Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:121).
Program
islah Muhammad Abduh boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk dan dua
peringkat. Pada awalnya beliau memilih bidang politik untuk menyebarkan idea
pengislahannya dan ini merupakan hasil dan pengaruh daripada gurunya, Jamal
al-Din al- Afghani yang memperjuangkan kebangkitan ummat Islam melalui bidang
politik. Bagaimanapun, setelah beberapa ketika, beliau telah menukar program
islahnya dengan memilih bidang pendidikan sebagai lapangan perjuangan yang baru
kerana beliau yakin usahanya untuk membawa keluar umat Islam daripada kelemahan
dan kemunduran hanya akan berjaya dilaksanakan melalui bidang pendidikan (Farid
Mat Zain dan Ismail Bakar. 2007:121).
Tambahan
lagi, selepas penglibatan Muhammad Abduh dalam pemberontakkan Urban yang
menyebabkan beliau diusir keluar daripada Mesir, kemudian telah dihentikan
pengeluaran majalah al-Urwah al-Wuthqa’,
beliau lebih memberi tumpuan dan
aktif kepada reformasi dalam bidang agama melalui pendidikan. Melalui reformasi
pendidikan ini, beliau berharap keadaan ummat Islam, terutama di Mesir yang
telah jatuh dibawah pemerintahan Inggeris akan dapat diperbaiki. Dengan
membaiki kefahaman agama dan memberi mereka pendidikan yang sesuai dengan zaman
mereka dalam bentuk evolusi iaitu secara berperingkat (Farid Mat Zain dan
Ismail Bakar. 2007:164).
Usaha islah
Muhammad Abduh banyak disebarkan melalui hasil tulisan beliau di sepanjang
penglibatannya sebagai tokoh reformasi. Pembaharuan dan perubahan yang
dilakukannya terhadap sistem pendidikan di Mesir khususnya al-Azhar , telah merubah pandangan masyarakat
Islam. Beliau berjaya mempengaruhi pemikiran umat Islam supaya menerima
pemodenan walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuklah ulama
Azhar sendiri yang menganggapnya terlalu menyanjung barat. Sedangkan itulah
cara dan idea Muhammad Abduh untuk memajukan umat Islam supaya tidak terus
dicengkam oleh kuasa penjajahan dan mampu menyaingi kuasa mereka (Farid Mat
Zain dan Ismail Bakar. 2007:121).
Untuk
menilai pencapaian beliau, memerlukn satu kajian yang khusus. Akan tetapi,
melihat keadaan Mesir hari ini selepas 100 tahun kewafatan beliau, Reformasi
Muhammad Abduh nampaknya tidak mendatangkan hasil sepenuhnya. Ini kerana,
pendidikan boleh dirancang sebaik mungkin, tetapi pelaksanaannya bergantung
kepada banyak faktor. Pemerintah berkuasa menggunakan seribu macam sekatan
untuk menghalang reformasi yang dirancang itu. Pelbagai peraturan dan
undang-undang yang boleh digubalnya untuk menghalang reformasi pendidikan
menjadi aliran arus perdana. Hasilnya, jika dahulu Mesir dijajah oleh Inggeris,
tetapi kini rakyat Mesir semacam dijajah oleh pemerintahnya sendiri.
Namun
begitu, walaupun ideanya belum sepenuhnya dilaksanakan , akan tetapi telah
jelas bahawa Muhammad Abduh merupakan seorang tokoh islah yang berjaya
dalam usahanya membuat pembaharuan terhadap sistem pendidikan umat Islam.
Beliau telah dilihat oleh sejarawan sebagai seorang tokoh islah yang
memberi sumbangan dan meninggalkan kesan yang besar terhadap sistem pendidikan
umat Islam dan seterusnya memajukan umat Islam. Kesan pembaharuan beliau bukan
sahaja dirasai oleh umat Islam di Mesir malah bidang pendidikan di Tanah Melayu
juga telah menerima pakai pengaruh dan ideanya iaitu antaranya Syeikh al-Hadi (Nurizan
Baharom 2011:393 ). Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa Muhammad
Abduh adalah seorang tokoh islah atau reformasi yang terkemuka dan berjaya
dalam mengembangkan idea pembaharuan terhadap umat Islam. (Farid Mat Zain dan
Ismail Bakar. 2007:121)